Pelakon dan pelawak, Ngasrizal Ngasri atau lebih dikenali sebagai Bell Ngasri menangis kegembiraan apabila berjaya membawa pulang trofi Artis Komedi Popular dan Anugerah Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular 35 (ABP) di Istana Budaya, malam ini.
Bell yang memulakan kerjaya seni sejak usia enam tahun dilahirkan dalam keluarga seni bersama-sama abangnya, Naszeli Ngasri dan dua adiknya, Darling serta Anne berkongsi kisah bagaimana mereka bersama-sama pergi ke lokasi penggambaran menaiki bas bersama ibunya ketika menerima anugerah trofi yang dimenanginya.
Selepas membina nama sebagai pelakon filem menerusi filem Cinta Kita pada 1995, Bell melebarkan kerjaya melawak pada 2007 apabila syarikat produksi mula memberi kepercayaan kepadanya menjayakan watak komedi.
Kemenangan tersebut merupakan satu penghargaan buat Bell selepas 37 tahun tidak pernah merangkul sebarang anugerah setelah sekian lama terlibat dalam industri hiburan.
Bell yang popular dengan tagline yak yak yeay menerusi watak Barkoba dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa terharu dengan sokongan ramai sehinga melayakkan dirinya merangkul kedua-dua trofi tersebut.
Malah, kemenangan ini menjadi lebih bermakna apabila momen manis itu turut dikongsi bersama isteri dan keluarganya yang hadir pada acara gilang gemilang itu.
Antara ahli keluarganya yang hadir menyaksikan kemenangan Bell di pentas ABPBH 35 adalah ibu dan bapanya, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar serta adiknya, Naszreen Ngasri, 40, atau Darling dan Naszriah Ngasri, 38, atau Anne.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official