Tindakan vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy melakukan aksi kurang sopan ketika persembahan berlangsung di Good Vibes Festival 2023, Litar Antarabangsa Sepang pada malam Jumaat dihentikan serta merta.
Matty yang terkenal dengan aksi biadab ketika mengadakan persembahan didakwa memegang botol arak ketika di atas pentas selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Tidak hanya itu, Matty juga turut membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.
“Saya tak nampak alasan kenapa mengajak kami The 1975 ke negara ini dan memberitahu dengan siapa kami patut lakukan hubungan seks,” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika dipertengahan persembahan, pentas tiba-tiba bertukar gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka telah disekat daripada meneruskan konsert di Malaysia.
Matty kemudiannya meninggalkan pentas sebelum diikuti oleh anggota The 1975 yang lain dan krew mereka.
Namun, ini bukan kali pertama Matty membuat masalah ketika melakukan persembahan. Malah beliau cukup terkenal dengan sikap kurang ajarnya ketika mengadakan konsert.
Ketika konsertnya di London baru-baru ini, Matty bertindak memakan daging stik mentah yang membuatkan penonton berasa mual dengan aksinya itu.
Tidak cukup dengan itu, Matty juga didakwa pernah mengaku menonton video lucah yang merendah-rendahkan kaum wanita khususnya berkulit hitam sambil melakukan onani.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official