Seorang lagi mangsa pencerobohan data akaun bank berputih mata selepas akaun banknya diceroboh dan hilang RM11,092 ekoran berlaku empat transaksi tanpa pengetahuannya pada 20 Mei lalu.
Mangsa, Koo Kah Peng, 53 yang juga merupakan ejen syarikat insurans mendakwa, empat transaksi tersebut dipindahkan ke satu akaun atas nama Nicholas.
Menurutnya beliau tidak mengenali identiti yang bernama Nicholas yang juga merupakan pemilik akaun bank yang menerima wangnya.
Perkara itu hanya disedarinya ini semasa menyemak baki akaun bank secara dalam talian pada jam 11 pagi, 20 Mei lalu ketika di rumah keluarganya di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru tambahnya lagi.
“Kali terakhir saya membuat semakan baki akaun bank terbabit sehari sebelum itu. Mulanya saya sangka tercicir kad pengeluaran wang automatik (ATM), namun saya mendapati kad saya tidak hilang,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika mengadu perkara berkenaan kepada Setiausaha Cawangan DAP Johor Jaya, Mok Meng Haw di pejabatnya di sini pada Isnin.
Kah Peng berkata, dia kemudian ke cawangan bank berkenaan di bandar raya ini bagi mendapatkan penjelasan sebelum mereka menunjukkan rekod transaksi pemindahan wang ke akaun bank seorang lelaki.
“Terdapat rekod permohonan nombor kod pengesahan transaksi (TAC), pemindahan wang dan permohonan bagi menukar had pemindahan wang.
“Kesemua transaksi pemindahan berlaku dalam tempoh enam minit iaitu antara jam 10.19 pagi hingga 10.25 pagi membabitkan RM11,092,” katanya.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official