Rantai Bunuh “The Nozze Figaro”
Kalau benar-benar cekap – kau harus membunuhnya ketika gema korus yang tinggi berkumandang; ia akan menenggelamkan suara jeritan mangsa ketika dijerut dengan rantai basikal yang diasah tajam mata sipinya.
Cuma, mustahillah kau dapat mengatur semuanya tepat pada waktu. Pembunuhan jenis ini bukan babak filem – dimana kau boleh tentukan detik korus di pentas berlaku serentak dengan waktu mencerut leher mangsa.
Secara realistik, ketika lagu itu berkumandang dan babak Susanna sedang memujuk Figaro untuk percaya padanya – itu detik paling tepat untuk membunuh. Ketika Suzanna menyanyi demi melahirkan rasa setianya, pasti penonton ghalib pada persembahan di pentas.
Suara tinggi Susanna dan kesenduan penonton akan membuatkan keadaan terfokus pada persembahan.
Mangsa juga pasti dibuai perasaan terharu. Itulah detik terbaik untuk mencerut lehernya dari belakang. Sentapan pertama rantai basikal bersipi tajam itu akan mengelar lehernya. Sentapan kedua akan membuatkan rantai tajam itu memutus pembuluh darah. Pastikan sentapan ketiga benar-benar kuat dan mampu mematahkan tulang lehernya.
Ingat. Ketika korus lagu sedang memuncak – itulah waktu paling tepat untuk untuk muncul
dari balik tirai gelap dan terus saja menjerut leher mangsa tanpa simpati. Pastikan lengan dan kedua-dua pergelangan tangan kau betul-betul tegap. Pastikan juga mata rantai diasah dengan teliti dan benar-benar tajam.
Seminggu sebelum membunuh, selalulah ke gim dan pastikan otot-otot pada kedua-kedua lengan betul-betul mantap dan kuat. Pastikan otot pada dada juga berfungsi ketika merenjut sekuat mungkin. Semuanya mesti selesai dalam 20 saat saja.
Jangan sesekali cuai. Kau ada tiga cara merenjut dan tiap kali mata rantai membelit leher mangsa, satu demi satu renjutan akan menciptakan proses kematian yang sempurna. Paling penting, pastikan henjutan ketiga mematahkan tulang leher mangsa.
Ingat betul-batul. Fungsi henjutan pertama akan melukakan pergelangan leher akibat torehan mata rantai. Trauma ini penting untuk mencetuskan rasa panik dan tekanan pada kardio mangsa.
Jerutan kedua akan memecahkan pita suara. Manakala, yang ketiga dan paling kuat belitan rantai, sentap penamat akan mematahkan tulang lehernya.
Ingat! Hanya 20 saat semuanya mesti selesai dan 10 saat lagi baki waktu – mesti digunakan sepantas mungkin untuk menyelinap keluar dari dewan dan terus saja pulang ke rumah.
Berada di rumah adalah alibi penting apabila siasatan dilakukan. Semuanya mesti teratur supaya tiada syak dan pembuktian pembunuhan.
Hanya ini cara terbaik. Kalau memang niat kau mahukan mangsa mati di tempat yang paling
dibenci – ketika dia khayal menikmati muzik mewah di dewan opera!
2
“Aku akan lakukan secara sempurna,” kata lelaki itu: “Aku memang mahu membunuhnya secara sadis, tetapi aku juga mahu dipercayai sebagai suami yang sangat menyayangi isteriku.”
“Apa maksudmu,” tanya perancang pembunuhan sambil menyedut sigar.
“Iyalah…,” katanya: “Bukankah aku juga yang akan meratap menghiba di kuburnya pada hari mayatnya dikambus….”
Perancang pembunuhan merenung tajam pada lelaki itu; antara rasa jelik dan aneh. Sigar terus dikemam dan asapnya berkepul di udara.
3
Membunuh isteri tanpa disyaki sama seperti mengkhianati rakan politik tanpa bukti. Memusnahkan hidup seorang musuh politik sama dahsyat dengan membunuh isteri sendiri.
Bezanya, si isteri akan mati dan akhirnya terkambus dalam tanah. Manakala, membunuh musuh politik pula – kerjayanya pasti musnah tetapi dia akan terus hidup tanpa memiliki maruah diri.
Si lelaki nampak sangat bersemangat dan teruja untuk segera menjalankan misi mautnya. Cuma, masih ada seminggu sebelum opera The Nozze Figaro dipentaskan.
“Baiklah,” kata perancang pembunuhan: “Kau harus berhati-hati. Mesti selicik Figaro dan pada masa sama, anggap isterimu seperti Susanna – cerdik dan cantik. Kau juga harus berhati-hati.”
Lelaki itu terdiam. Mendengarkan amaran bahawa isterinya mungkin selicik Susanna yang bijak menipu Count dalam drama Mozart pada 1786 itu – membuatkan hatinya sedikit bergetar.
“Ingat,” kata perancang pembunuhan: “Idea The Nozze Figaro ditulis tiga tokoh besar. Plotnya kemas dan susunan babaknya rapi kerana Mozart dibantu Lorenzo Potte dan Pierre Beaumarchais.”
“Iya… iya…,” kata lelaki itu: “Aku faham. Cuma, bezanya drama itu berakhir dengan bahagia. Sedangkan, aku mahu isteriku mati dengan tragis dan sadis.”
“Hmmm…,” rungut perancang pembunuhan: “Hati kau memang tega dan seperti ais yang membeku. Kau memang ahli politik tulen. Sentiasa mahu memusnahkan musuh hingga seluruh hidup lawan terasa mati walaupun masih bernyawa.”
Lelaki itu tersengih: “Bukankah aku ahli politik. Bukankah membunuh isteriku juga sebahagian agenda politik. Aku perlukan undi simpati dengan kematian isteriku yang mampu mencetuskan viral kesedihan di seluruh negara.”
Si perancang pembunuhan terkedu; disedut dan dikemam sigarnya. Asap memenuhi ruang tamu kafe yang hanya ada dua lelaki di dalamnya.
4
Di rumah – ketika makan malam yang sudah melewati jam 1 pagi – si lelaki duduk semeja mendepani isterinya. Hari yang meletihkan dan kedua-dua kelihatan berwajah kusut dan terdiam melihat hidangan.
“Aku tak berapa suka kau menyertai kempen si polan,” kata lelaki itu: “Aku juga bertanding dan ini tidak baik untuk imej politikku.”
Si isteri membungkam: “Kau sendiri enggan aku terbabit dengan kempenmu. Jadi, apa salah aku membantu sahabatku. Kau bertanding di sini dan dia bertanding di bandarnya. Tak ada apa masalah pun.”
Mendengarkan jawapan isterinya, si lelaki meletakkan sudu ke dalam pinggan dengan bunyi yang kuat.
“Tapi, dia bekas kekasihmu!”
Si isteri segera membentak: “Tapi itu dulu. Dah hampir 30 tahun dulu. Jangan kau jadikan semua ini isu!”
“Hurgh!” Sergah si lelaki: “Dengan sikap sundalmu… aku tahu apa yang berlaku di belakangku. Kau fikir aku bukan anjing licik yang cekap menghidu kecurangan?”
Si isteri menghempas pinggan ke lantai lalu bangun dan menyorongkan mukanya ke arah lelaki itu.
“Sepuluh betina kau simpan merata tempat termasuk gadis dalam parti yang mengekormu sebagai pembantu. Adakah aku peduli?” Jerit isterinya.
Suara nyaring itu melengking kuat hingga lampu kandeliar di ruang makan terasa bergetaran.
5
“Aku sudah mendapatkan tiket di ruang eksklusif di beranda paling belakang buat isterimu. Aku membeli semua lapan tiket,” kata perancang pembunuhan.
Si lelaki tersenyum dan berkata: “Membazir saja kau membeli begitu banyak tiket sedangkan yang perlu dibunuh hanya seorang.”
Wajah perancang pembunuhan berubah menjadi separuh kemerahan. Dihelanya nafas panjang dan nampak jelas sekali – dia sedang mengawal rasa marah.
“Kena beli semua tiket,” katanya: “Mana mungkin kau mencerut leher isterimu di ruang yang ada tujuh penonton lain!”
Si lelaki terdiam dan membeliakkan mata; tanda menyedari kebodohannya.
“Ohhh…,” katanya sambil menepuk dahi: “Aku terlupa soal saksi.”
Si perancang pembunuhan menyalakan sigarnya; lalu duduk di sofa dan kafe kekal sunyi tanpa pengunjung.
Si lelaki duduk sambil bersandar. Si perancang pembunuhan memerhati ka arah pelayan di kaunter dan menunjukkan isyarat dua jari. Si pelayan tersenyum dan segera mencapai dua biji cawan dan menuju ke mesin kopi.
“Akujugamenempahsemuatiket untukkaududukdiberandabertentangandengantempat isterimu,” kata si perancang pembunuhan.
Melihat wajah si lelaki sedikit keliru serta tidak dapat menangkap maksudnya – si perancang pembunuhan menjelaskan.
“Kau perlukan tiket untuk berada dalam panggung persembahan,” katanya: “Dari beranda itu, kau akan duduk bersendirian kerana semua tiket sudah aku beli.”
“Ok…,” kata si lelaki tetapi matanya masih terpancar rasa keliru.
Segera si perancang pembunuhan mengisyaratkan sesuatu; si lelaki mendiamkan diri dan pelayan muncul dan meletakkan dua cawan kopi lalu cepat-cepat pergi.
“Begini,” kata si perancang pembunuhan: “Kau harus duduk menanti dengan sabar hingga babak nyanyian Susanna muncul. Keadaan dewan akan terpegun waktu itu. Kau akan menyusup lepas lagu itu dinyanyikan. Sampai di korus, kau akan berada tepat di belakang kerusi isterimu.”
Wajah si lelaki menyengih dan nampak sangat bersemangat.
“Aku tidak sabar menantikan harinya,” kata si lelaki: “Kau tahu tak, isteriku sekarang mungkin sudah bersama seorang lelaki lain di belakangku.”
Wajah si perancang pembunuhan nampak sedikit terkedu. “Maksudmu?”
Si lelaki tersengih dan memandang wajah si perancang pembunuhan. Melihatkan air muka lelaki itu sedikit celaru – segera si lelaki tersenyum kecil.
“Hahaha…,” tawa si lelaki: “Sejak kahwin pun isteriku sudah begitu. Dia gemar bertukar lelaki. Aku sudah tahu perangainya.”
“Kenapa tidak kauceraikan saja? Mengapa kau sanggup kekal bersamanya sampai dua puluh tahun lebih?”
Si lelaki menunjukkan isyarat dengan dua jarinya; menggeselkan ibu jari pada jari telunjuknya.
“Wang,” katanya: “Lima tahun pertama, kerjayaku belum stabil. Aku belum mendapat tempat dalam politik dan sukar menghasilkan wang mudah.”
Si perancang pembunuhan terdiam; menanti untuk mendengar cerita seterusnya.
“Sekarang,” kata si lelaki: “Aku tidak dapat menceraikannya kerana banyak perniagaan yang kami kongsi bersama. Bahaya kalau penceraian jadi isu dan menyebabkan isteriku bersuara. Dia tahu semua kegiatan jahatku melalui politik….”
Si perancang pembunuhan hanya mendengarkan; matanya tepat memandang pada si lelaki tetapi riak wajahnya hanya membeku tanpa perasaan.
Hanya mulutnya menguman dan api pada hujung batang sigarnya menyala terang.
6
“Aku mahu menonton persembahan The Nozze Figaro,” kata si isteri: “Seseorang telah mengirimkan tiket khas tanpa menyebut namanya. Barangkali, kenalan perniagaan kita.”
Si lelaki hanya mendiamkan diri.
“Ayuhlah kita pergi bersama,” kata si isteri: “Sesekali… elok kita muncul berduaan di khalayak ramai. Itu penting untuk imej politik kau.”
Si suami meneguk kopi dan hanya menundukkan muka. Ruang dapur yang luas dan sepi itu membeku sebentar.
“Hanya satu tiket,” kata si lelaki.
Si isteri menjawab pantas: “Ohh… aku fikir, kau juga mendapat undangan?”
Si lelaki menundukkan muka dan tetap menatap cawan kopi di atas meja.
“Orang sudah lama mengumpat mengenai rumah tangga kita,” kata si lelaki: “Sekarang pun, aku mendapat maklumat kau selalu bertemu seorang lelaki.”
Si isteri mendengar dan pura-pura tidak peduli.
“Aku bertemu banyak lelaki,” katanya: “Aku menjalankan perniagaan kita dan tentunya banyak urusan.”
Si lelaki ketawa: “Melepaskan nafsu seks juga satu perniagaan….”
Si isteri bingkas menjawab: “Apa salahnya. Itu berbaloi daripada memikirkan suami sendiri tidur berganti dengan ramai betina atas nama urusan politik!”
Ruang dapur kembali menepu dan membeku. Si lelaki hanya tunduk menatap cawan kopi. Setelah waktu bersenjang sepi agak lama – si isteri bangun dan pergi.
“Aku takkan balik malam ini,” katanya: “Bisnes ini memerlukan aku tidur dan memuaskan seorang lagi jantan yang akan memastikan kau cukup wang untuk merasuah undi.”
7
The Nozze Figaro sebuah persembahan yang panjang. Empat babak dengan begitu ramai watak. Cuma, drama opera Mozart ini popular dengan muslihat Count, si kaya yang cuba memisahkan cinta dua pekerjanya – Figaro dan Susanna. Nafsu Count pada pembantu rumah Susanna, menjadikan kisah di istana agam ini penuh dengan babak muslihat.
Si isteri berada sendirian di beranda eskekutif. Ketika menjenguk ke bawah, dia nampak penonton sudah memenuhi ruang tempat duduk umum.
Manakala, di beranda sepanjang sayap kanan dan kiri – juga dipenuhi tamu.
Hanya beranda bersetentangan dengannya saja, kelihatan seorang lelaki bertopi baretta dan berkaca mata gelap sedang duduk sambil menundukkan muka.
“Aneh,” katanya: “Ruang lain dipenuhi penonton. Hanya beranda ini dan tempat duduk di seberang sana saja yang dikuasai seorang penonton.”
Persembahan bermula. Muzik Mozart yang dicipta ketika berusia 28 tahun pada 1786, kini mengisi seluruh ruang dewan.
Si isteri sangat menikmatinya – sambil sesekali merenung pada lelaki di beranda seberang sana. Aneh, fikirnya – lelaki itu asyik menundukkan muka dan kelihatan seperti sudah terlena.
8
Usai babak ketiga – si lelaki mulai gemetar. Tangannya mula meraba-raba ke dalam beg hitam yang dibawanya. Cuma, dirinya sedikit gelabah apabila jari-jarinya tidak menemukan rantai besi yang ditajamkan sipinya.
Tubuhnya sedikit menunduk kerana beg sandang mewah diletakkan di antara dua kakinya. Babak ke empat bermula dan dalam lima minit lagi – Susanna akan menyanyi dan merayu pada Figaro.
Pada korus yang sangat tinggi itu – dia sudah sepatutnya berdiri di belakang si isteri dan mencerut leher betina yang paling dibencinya itu.
Beg sandang hitam diangkat dan diletakkan pada ribaan. Babak keempat sudah bermula dan Figaro sudah berada di taman dan sedang berdepan dengan Susanna.
“Aduh…,” bentak hatinya: “Tadi rantai maut itu ada di sini….”
Dia masih punya lima minit waktu berbaki. Untuk berjalan merentas laluan ke sayap seberang
panggung itu – si lelaki memerlukan masa dua minit.
Selebihnya, dia perlu berdiri di balik tirai beranda dan berjalan masuk lalu mencerut leher isterinya apabila suara Susanna mula bergetaran pada korus yang sangat merayu-rayu itu.
Ketika kedua-dua tangannya menggeletar sambil terus menggeledah beg sandang, dia tidak menemukan rantai pembunuhan – hatinya menggelabah.
“Celaka!” Bentaknya separuh panik.
Tangannya terus meraba-raba dan keadaan jadi kelam-kabut. Ketika dia mendongak ke seberang beranda; nampak si isteri melambai-lambai padanya. Ketika itu, rasa panik menyergap fikirannya.
Si lelaki mula mengesyaki si isteri mungkin mengecam kehadirannya.
Ketika sedang kalap dan bercelaru – si lelaki terasa lehernya dicerut benda yang keras dan tajam. Dia cuba menjerit tetapi cerutan rantai besi terasa semakin kuat dan mengilir ke kiri dan kanan hingga dapat dirasakan merah memancut pada kedua-dua tangannya yang cuba melepaskan belitan rantai tajam itu.
“Lihat,” kata suara yang mencerutnya: “Isterimu sedang menikmati saat-saat kau sedang menderita sakitnya kematian….”
Korus suara Susanna sangat nyaring dan si lelaki tidak mampu menjerit pun. Cerutan kedua terasa sangat kuat hingga halkum pecah.
“Seronokan?” Kata suara yang dikenalnya: “Menikmati mati dalam keadaan dikhianati begini?”
Ketika topi dan kaca mata hitamnya jatuh di lantai – cerutannya ketiga terus menyentap tulang lehernya.
Waktu itu, ketika maut sudah meruntun pada ubun-ubunnya – si lelaki terhidup bau sigar. Hatinya membentak dengan maki-hamun.
Dalam keadaan kegelapan mengabui matanya dan suara korus Susanna mulai melenyap pergi – si lelaki sedar – bau sigar dan suara itu milik si perancang pembunuhan.
Dirinya dikhianati.
Diulang-ulangnya maki-hamun dalam hati: “Celaka! Celaka! Celaka!”
TAMAT
Baca juga cerpen Zainal Rashid Ahmad yang lain:
Cintanya tersumbat dalam pembetung, mayatnya tenggelam di lautan/
Cinta pun mati pada hari salji pun pergi
Dendam lumatkan mayat – cinta racunan hati
Simbolik