Sekumpulan penutur menyebut cerita ini sebagai kisah benar; memang si mati pulang dari medan perang pada satu pagi hari minggu.
Ketika itu, bulan Mac sedang diselubungi musim tengkujuh; hujan turun sepanjang hari dan langit sentiasa gelap diselirati mendung hitam.
Bukannya aneh pun kisah si mati — bermula dengan cerita mayatnya ditemukan terbaring; tidak bergerak dan tubuhnya dipenuhi luka-luka. Maka, orang menganggapnya sudah mati.
Namun – kata penutur cerita:
“Sebenarnya lelaki itu tidak mati. Keadaan perang yang kalut serta setelah kalah dan pasukannya perlu segera berundur, maka – timbul kekeliruan.”
Menurut cerita; ketika peluru lela rentaka jatuh dan meletup tepat di sisinya – tubuh lelaki itu terpelanting – lalu jatuh terjelepuk ke tanah.
“Ini cerita sudah lama,” kata si penutur cerita: “Tapi, aku mendengar kisah ini dari mulut si mati itu sendiri.
Tubuh si mati pula, kata saksi perang pula — yang menyanggah kisah ‘orang mati hidup semula’ – mengisahkan:
“Tertiarap keras kejung dalam keadaan terlungkup. Darah mengalir dari celah robekan bajunya. Kami yakin dia sudah tidak bernyawa. Maka, kami anggap- dia sudah mati!”
2
Si penutur cerita – selepas menyampaikan kisah gempar perihal pulangnya lelaki mati itu – segera berjalan di keliling kampung – menyampaikan kisah ini.
Malah, selama bermusim-musim seterusnya – tatkala, datang dan perginya musim tengkujuh – si penutur
cerita telah meredah desa ke desa.
Seluruh daerah pun gamat – – dek cerita: ‘orang mati hidup semula.”
Dongeng lain menyusul – dengan cerita lebih aneh; menyebut: “Lelaki si mati itu sebenarnya jelmaan hantu…”
Kata pendongeng: “Saksi di medan perang sudah pun mengesahkan dulu — lelaki itu mati dengan tubuh bermandi darah!”
“Mana mungkin,” kata pendongeng: “Orangnya mati hidup lagi. Lelaki yang pulang itu pastilah seekor hantu!”
Si penutur cerita — selalunya bersegera meninggalkan desa ke desa tempat dia menuturkan cerita; maka, dia tak pernah peduli akan cerita hantu itu.
Malah – dari tahun ke tahun; dan sekarang sudah dekad ke dekad — si
penutur cerita – – tetap tabah berjalan ke sana-sini; menyampaikan duduk perkara yang sebenar mengenai kisah ‘orang mati hidup semula’.
“Nasib lelaki itu, kata si penutur cerita: “Memang sangat malang… masih hidup disangka mati.”
Begitulah dia mengulang-ulang cerita yang sama; dari hari ke hari- bulan ke bulan. Dari desa ke desa hingga pekan ke pekan.
Malah, sudah menjangkau tahun ke tahun dan kini dekad ke dekad.
3
*Bagaimana lelaki itu mati? Perang berlaku pada satu musim tengkujuh. Pada satu detik ketika gelapnya perdamaian.
Pada tahun yang mana musim tengkujuh turut meributkan perebutan kuasa antara si adik dan si abang.
Raja Tua dan Raja Muda yang bertempur merebut takhta.
Belum pun kering tanah kubur baginda ayahanda yang mangkat; perang terus bermula.
Raja Tua berkuasa di Kuala Tambang – Raja Muda di Pintu Muara. Walaupun jalan air menjadi sumber cukai dan niaga – – daratlah juga jalan perangnya.
Maka, Raja Tua dan Raja Muda memilih untuk bertempur; dalam negera mesti punya hanya seorang raja. Walaupun di kuala dan di muara – hasil cukainya – cukuplah sangat untuk sama-sama meniadi kaya.
“Katakan pada kekandaku… bahawa dengan segala amarah ini — aku akan memeranginya,” kata Raja Muda.
Maka pulanglah si wakil itu – lalu bertemu Raja Tua dan menyatakan pesan yang dibawanya dari Raja Muda.
Maka disambut Raja Tua: “Kalaulah darah pilihannya – maka, darahlah juga pilihan kita. Siapkan angkatan perang!”
Marahnya Raja Tua–ditambah dengan dengan seru dan lengking suaranya:
“Bersama gelap mendung ini, kita akan sanggah seluruh tanah adindaku yang derhaka. Maka, aku titahkan – bunuhlah adindaku yang khianat itu!”
Si penutur cerita – pada dekad-dekad yang lain — terpaksa meneruskan cerita dengan perkisahan yang lebih panjang.
Dari desa ke desa –selepas usai mengisahkan cerita ‘orang mati hidup kembali” — (kerana membesarnya anak- anak dari dekad ke dekad yang tidak tahu asal-usul Perang Anak Raja) — maka, kisah ‘orang mati hidup semula’ kini bertambah panjang.
Pada usia tua renta — ketika seluruh rambutnya sudah panjang dan jambangnya pula kembang berkemasai — si penutur cerita tetap bersabar.
Mengembaralah diandari desa ke desa; memintas jalan demi jalan – dengan niat – satu hari; sampailah dia ke pintu istana dan mengadap Raja Tua.
Hajatnya menyampaikan berita — akan nasib ‘si mati hidup semula.’
Tanpa rasa terbeban–si penutur cerita menyampaikan setiap jengkal dan hasta; setiap titik dan sempang peristiwa – yang membawa kepada terjadinya Perang Anak Raja.
Begitulah adanya.
4
Kata si penutur cerita — asal si mati itu — hanyalah seorang pemuda lugu yang bertani menanam tebu.
Setelah mati ibu bapanya – pemuda lugu yang pemalu itu – hidup sendirian di ladangnya nun di hujung desa.
“Dek perintah Raja Tua, segala isi desa pun dipunggah isi di balik pintu setiap rumah; tiap yang bernama lelaki dewasa – asalkan cukup usia — diperintahkan membawa senjata,” kata si penutur cerita.
Raja Tua juga menitahkan angkatan utama yang sudah lama berkhidmat di istana — agar mempersiapkan segala senjata — tiap pucuk istinggar dan lela rentaka.
“Kita akan takluk seluruh Pintu Muara.
Setelah itu — tiap hasil cukai kapal berdagang yang singgah di pelabuhan- sepenuhnya hak kita!”
Ketika Raja Tua menyiapkan angkatan perang menuju ke medan tempur di pinggir sungai menuju muara — kata si penutur cerita: “Raja Muda sudah pun menyiapkan kubu perang menanti datangnya musuh dari Kuala Tambang.”
“Apakah kekandaku fikir – aku ini seorang pengecut!” Jerit Raja Muda:
“Tidakkah dia tahu selain lela rentaka dan istinggar – aku juga punya meriam!”
“Atas taat seorang rakyat,” kata si penutur cerita: “Maka, si pemuda lugu nan pemalu itu pun — tetap pergi berperang–membawa sebilah sabit penebang tebu.”
“Berangkat dia, kata si penutur cerita lagi: “Sekali pun dalam sepanjang hidupnya – si pemuda itu tidak pernah membunuh seekor pun cicak di rumahnya”.
Hari demi hari — sampai dekad demi dekad; terpegunlah rakyat jelata mendengar kisah ‘orang mati hidup semula’.
Walaupun tersebar juga akan cerita ‘yang pulang itu hantu’.
Namun, lebih besarlah rasa kasih tiap orang yang mendengar – memikirkan akan nasib si yatim piatu yang terlempar ke medan tempur berbekalkan sebilah sabit tebu.
“Sudahlah piatu lagi lugu; hanya dengan sabit tebu – – diheretnya anak itu ke medan Perang Anak Raja….”
Atau yang lain berkata: “Kalau cicak di rumah pun tak pernahnya dibunuhnya; mahukan dia menoreh nyawa manusia?”
5
*Siapa Raja Tua dan Raja Muda?
Kala ayahandanya masih ada — sudah bergeserlah pandangan antara adik dan abang mengenai waris dan takhta.
Walau jurang usia hanya 3 tahun– tetapi digelar orang Raja Muda dan Raja Tua.
“Supaya kamu tidak berbalah,” kata marhum Raja: “Maka, aku berikan kamu kawasan makan cukai yang adil. Seorang mengutip hasil di kuala dan seorang lagi di muara…”
Titah Raja menyebabkan dua beradik itu merah padam wajahnya.
“Harus aku dinamakan bakal raja, kerana ini mahir mentadbir harta istana,” seru sang abang.
Maka – berteriaklah si adik: “Akulah waris kerana akal fikirku — jauh lebih baik dari otak kau yang buntu!”
Kata si penutur cerita: “Bak pasarlah jadinya istana dengan jerit dan pekik Raja Tua dan Raja Muda”.
Para pembesar pula segera mundur tinggalkan istana; menyedari hal keriuhan itu — hak raja sebaga ayahanda untuk menyelesaikannya.
“Aku akan titahkan nanti,” kata Raja: “Buat masa ini, pergilah kamu berdua mentadbir kuala dan muara.”
6
*Cerita si mati pada si penutur
Selepas kembali dari medan perang dan terpinga-pinga mencari rumahnya sendiri — si mati yang hidup semula itu —
duduk termenung di titi penambang.
Dalam keadaan lesu, lapar dan pakaian yang lusuh dan mengeras dek kerak darah yang beku; pemuda itu termanggu; duduk di pelantar penambang dan bersandar pada tiang penambat perahu.
Kakinya terjulur dan paras air yang sedikit naik; menyentuh tapak kaki yang tak berkasut.
“Siapakah kamu,” tanya si penutur cerita.
Saat itu -si penutur cerita, baru pulang dari menjala ikan; tatkala sampai dan usai menambat perahunya – segera didekati tubuh seorang lelaki muda dengan mata separuh tertutup; hampir pengsan melunjur di atas penambangnya.
“Aku…” kata di pemuda itu – sebelum akhirnya terus pengsan.
Si penutur cerita membawa pemuda malang itu pulang ke rumah–merawatya dengan baik; diberikan makanan dan ubatan — hinggalah pemuda itu sembuh.
Sepanjang berbulan-bulan menjaga pemuda itu – maka, camlah dia – bahawa anak muda itu adalah penduduk desanya.
Tahulah si penutur cerita; khabar kematian lelaki itu sebelum ini — sudah tersalah berita.
Maka, setelah anak muda itu sembuh; serta sihat untuk bekerja – dihantarnya anak muda itu pulang ke rumahnya nun di hujung tanah rata berdekatan banjaran.
“Kembalilah engkau menanam tebu,” kata si penutur cerita.
Anak muda itu menganggukkan kepala; sambil terkedu melihat tanah pusaka tinggalan marhum ayah dan ibunya – kini sudah menjadi belukar renek.
“Aku akan bertemu wakil raja– menyatakan kamu mash hidup dan hak tanah ini kamu masih pewarisnya.”
Maka — dalam perialanan ke rumah ketua kampung, ke rumah penghulu mukim dan seterus mengembara mencari jalan menuju istana Raja Tua – tersebarkan kisah si mati.
Berdekad-dekad mengembara – si penutur cerita masih tidak ketemu peluang menjejak ambang istana.
Selama waktu berlalu — dan langit terus bergelap dengan awan tebal demi tahun-tahun tengkujuh yang panjang – si penutur cerita hanya menghabiskan waktunya di desa dan jalanan.
Raja Tua pula mash sibuk dengan perangnya. Keadaan sempadan Pintu Muara dan daerah Raja Muda di Kuala Tambang — tetaplah tegang.
Rakyat jelata di tanah dua daerah berseteru ini — terus hidup berselaput mendung hitam.
Waktu pun bergerak; yang muda menjadi–yang tua menjadi renta. Malah, usia pun dilusuhkan oleh tegangnya perang yang tak
berkesudahan.
Sekejap bertempur sekejap berhenti; sekejap berunding — sekejap lagi berkhianatlah pula.
Akhirnya — si penutur cerita pun berhajat pulang ke kampung laman. Dirinya sudah tua dan rindulah dia untuk mahu bertemu semula dengan si pemuda yanh ‘mati hidup semula’.
“Lagipun…,” kata seorang bujang di jalanan: “Eloklah bapa pula segera. Ada khabar mengatakan perang akan meletus lagi.”
Si penutur cerita – sambil melurut rambut dan janggutnya – mulai sedar.
“Sudah berdekad lama aku berpergian — menjaja kisah ini dengan niat akan belajarlah bangsaku mengenai buruknya perang.
Tetapi, seribu cerita pada rakyat jelata – tentulah tidaklah ada ertinya – kalau penguasa itu–mahunya adalah peranglah juga.”
7
Berminggu-minggu meredah belukar dan ladang orang – si penutur cerita pun sampai ke desanya.
Segera dia teringat akan begitu lama waktu berlalu; hingga terpinga-pinga juga berdiri di simpang laluan —
memikirkan mana satu jalan menuju ke desanya.
Akhirnya – ketika musim tengkujuh bermula dan awan gelap serta angin kencang mulai bertiup hingga merundukkan pohon-pohon di
sepanjang jalan pulang — sampailah si penutur cerita ke desanya.
Paling diingatnya — ialah rumah pemuda itu. Maka, sampailah dia ke ladang tebunya yang subur; tegak dan tegap batang dan katamnya. Malah, subur sungguh tumbuhnya.
Belum pun sempat dia mengetuk pintu rumah pemuda itu — muncullah seorang lelaki; memegang sebilah sabit tebu dan siap dengan sebilah pedang panjang.
“Kamu siapa?” Tanya lelaki itu.
Si penutur cerita tersenyum; dia cam akan akan pemuda itu – walaupun kini sudah dituakan waktu.
“Aku…” kata si tua penutur cerita: “Aku yang menjaga kamu saat kau rebah di penambang perahu.”
Lelaki itu memandangnya: “Bukankah kau sudah mati?”
Si penutur cerita tersentak; segera dia teringat akan begitu lama dirinya berpergian.
“Beginilah…” kata lelaki itu: “Kau tentu letih. Elok kamu berehat dan bersembunyi di sini.”
“Sembunyi?” Tanya si penutur cerita.
“Ya…,” jawab lelaki itu: “Aku dititahkan ke medan perang sekali lagi. Kali ini, asal sesiapa saja lelaki tanpa mengira usia –
diperintahkan ke medan Perang Anak Raja.”
Si penutur cerita pun terdiam; lelaki itu cepat-cepat mendorongnya masuk ke dalam rumah. Dari celahan renggang papan pintu – dia nampak lelaki itu pergi; berbekalkan sabit tebu.
Cuma kali ini– dengan sebilah pedang panjang.