Separuh Ramadan bakal berlalu apabila kita kini sedang berada di pertengahan Ramadan. Bersediakah kita untuk berada pada separuh yang kedua? Sudah pasti 10 malam terakhir bakal menjelma dengan nilai satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan.
Namun, dengan situasi perubahan cuaca yang panas dan hujan lebat yang tidak menentu ini bukanlah menjadi penghalang untuk menghidupkan 10 malam terakhir mengikut keselesaan masing-masing.
Sejak COVID-19 melanda dunia, telah menjadi satu kebiasaan yang baharu sebagaimana solat sunat Tarawih dilakukan secara berjemaah bersama ahli keluarga. Dalam masa yang sama dapat mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga.
Umum kita ketahui, masjid kini kembali dibuka buat para jemaah untuk melaksanakan ibadah wajib dan sunat terutama sekali sepanjang bulan mulia ini.
Sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT mengenai nilai satu daripada 10 malam terakhir dalam Surah Al-Qadr ayat 3, maksudnya: “Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Oleh itu, semestinya umat Islam mengambil kesempatan ini berlumba-lumba untuk memperbanyakkan ibadah dan melakukan solat malam
Bagaimanapun, Allah tidak menzahirkan pada malam ke berapa akan berlakunya al-Qadr. Rahsia penyembunyian malam kemuliaan ini adalah supaya menjadi pendorong kepada hamba-Nya agar berusaha bersungguh-sungguh menunaikan ibadat sepanjang malam. Perkara ini juga sebagaimana disembunyikan waktu mustajab doa pada Jumaat supaya mendidik manusia sentiasa berusaha dalam mendapatkan sesuatu yang bernilai.
Ganjaran yang besar menanti setiap hamba-Nya, menuntut istiqamah berterusan dalam melakukan ibadat bermula dari awal Ramadan sehingga pengakhirannya.
Rasulullah SAW amat menitikberatkan ibadat pada malam khususnya menghampiri 10 yang terakhir. Daripada Aisyah RA berkata: “Adalah Rasulullah apabila masuk pada 10 akhir (Ramadan), Baginda akan menghidupkan malamnya (dengan ibadat), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan semua isteri).” Hadis Riwayat Muslim
Kesungguhan beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan pasti memberi kesan yang besar kepada seluruh umat Islam. Bagi mereka yang istiqamah melakukan solat fardu berjemaah, diikuti solat sunat Tarawih pada malam hari, pasti 10 malam terakhir akan diisi dengan sepenuhnya. Walaupun tahun ini tiada solat sunat Tahajud di surau atau masjid berdekatan, ibadat bersama keluarga ini dapat dihidupkan dengan jayanya.
Aisyah RA menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW sedaya upaya menghidupkan malam akhir Ramadan. Katanya: “Rasulullah berusaha sedaya upaya pada malam 10 akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam yang lain.” Hadis Riwayat Muslim
Oleh yang demikian, persediaan bagi menghadapi 10 malam terakhir ini perlu dibuat bermula sejak awal Ramadan. Bagi mereka yang memburu malam al-Qadr, pastinya ibadat yang dilakukan akan bertambah lebih-lebih lagi bacaan al-Qur’an dan solat sunat yang lain. Pada saat ini, mereka akan memohon doa, merintih kepada Allah agar dosa yang dilakukan mendapat keampunan dan memohon agar diberi panduan ke jalan yang benar.