Kewujudan industri syarikat takaful di Malaysia secara relatifnya masih baru berbanding syarikat insurans konvensional yang sudah lama bertapak.
Oleh yang demikian, sokongan dan dokongan diperlukan khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri bagi mengukuhkan dan menstabilkan tapak dan kewangan syarikat takaful. Kesannya, syarikat takaful mampu memberikan persaingan terhadap syarikat-syarikat insurans konvensional lain termasuklah penawaran harga polisi yang lebih kompeten setara dengan polisi yang ditawarkan syarikat konvensional.
Dalam pada itu, mencari sesuatu yang halal merupakan suatu tuntutan kepada setiap Muslim. Pendirian ini sangat penting bagi mengelakkan tergolong dalam kalangan mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai Muslim yang memandang enteng urusan halal dan haram.
Hukum berkenaan insurans konvensional sama ada insurans nyawa mahupun insurans am seperti kereta, rumah, motosikal dan sebagainya adalah haram. Hukum ini seiring dengan keputusan yang sudah diputuskan dalam Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 dan Ke-89.
Antara sebab utama pengharaman insurans konvensional ialah melihat kepada bentuk transaksinya yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian.
Resolusi Majma’ al-Fiqh al-Islami tahun 1979 dan 1985 juga menyebutkan perkara yang sama mengharamkan segala jenis insurans konvensional termasuklah insurans nyawa, kereta, perniagaan dan lain-lain. Sebagai alternatif, dihalalkan untuk mengambil takaful yang menjalankan konsep secara tolong-menolong serta pemberian wang secara sukarela.
Seterusnya, dalam Islam jelas menyebut bahawa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ melainkan dalam keadaan terdesak dan darurat yang diiktiraf oleh Syarak berdasarkan syarat-syarat tertentu.
Namun, terdapat pelbagai alternatif lain seperti syarikat takaful yang menawarkan insurans yang menepati roh Syariah. Selain itu, harga polisi bagi insurans takaful tidak dinafikan lebih mahal berbanding konvensional. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak termasuk dalam kategori darurat sehingga mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan.
Sumber: Mufti Wilayah