Siapa sangka pisau yang sering digunakan di dapur kini menjadi salah satu tarikan istimewa di Melaka. Terletak di Jonker Street, Galeri Pisau Jaya Mata Malaysia mempamerkan pelbagai jenis peralatan tajam seperti pisau, pedang, dan tidak ketinggalan juga gunting.
Namun, pameran yang diadakan tidak hanya sekadar pameran koleksi peralatan tersebut. Para pengunjung yang hadir juga dapat mempelajari sejarah dan pelbagai maklumat mengenai pisau dengan lebih khusus.
Memiliki lima ruangan mempamerkan lebih 280 bilah pisau dan keris. Antara ruangan yang menarik untuk dilawati adalah Pedang Pejuang, Sekilas Bilah Kuno, Bengkel Pertukangan Besi dan Keris serta Pisau dan Kehidupan yang unik, semestinya akan membuatkan pengunjung tertuja untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bahan dipamerkan.
Setiap bahan pameran disertakan dengan keterangan dan antara yang menarik adalah pisau untuk menoreh getah digunakan 100 tahun lalu serta peralatan bagi tujuan pertanian itu.
Tidak hanya itu, para pengunjung juga berpeluang melihat pedang pejuang yang pernah digunakan tentera Gurkha, kelengkapan kesatria zaman pertengahan termasuk senjata dan baju besi digunakan, Pedang Yuewang dan Pedang Longquan dari China di ruang pameran Pedang Pejuang.
Turut juga dipertontonkan adalah, lambang kepahlawanan Melayu seperti keris Keris Panjang dan Keris Beko serta GE iaitu sejenis senjata menyerupai tombak atau lembing.
Aktiviti menarik bagi pengunjung juga akan diterangkan mengenai proses daripada sekeping besi boleh dibentuk dan dijadikan sebilah pisau atau senjata di ruangan Bengkel Pertukangan Besi.
Malah, terdapat juga pisau yang mendapat anugerah Malaysia Book Of Records iaitu ‘The Biggest Knife’ dan ‘The Biggest Golok Knife’ di ruang pameran.