Jenayah rasuah adalah suatu perbuatan yang telah membarah menyelinap dalam sistem kehidupan masyarakat kita pada hari ini.
Dewasa ini, tohmahan yang dilemparkan sama ada realiti atau persepsinya, isu-isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dikaitkan dengan politik, sektor perkhidmatan awam, sektor ekonomi, perdagangan, keselamatan dan sebagainya yang meliputi kesalahan memberi, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu, penipuan transaksi dan dokumen untuk kepentingan individu, keluarga dan golongan-golongan tertentu.
Inilah bentuk-bentuk kesalahan yang jelas merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan.
Sesungguhnya perbuatan rasuah adalah haram di sisi Islam, berdosa besar serta dimurkai oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:
“Janganlah kamu memakan harta antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu menghulur suapan kepada hakim-hakim (penguasa-penguasa) dengan niat untuk mendapatkan sebahagian daripada harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
Manakala disebut dalam sepotong hadis yang mengingatkan kita tentang haramnya perbuatan rasuah. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru r. anhuma:
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Kitab al-Halal wal-Haram fil-Islam, beliau menyatakan: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah (suapan), iaitu wang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukuman yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya”.
Manusia yang sanggup melakukan jenayah rasuah, mereka ini tidak takut akan ancaman dan laknat Allah dan Rasul-Nya kerana mereka ini hanya mementingkan diri sendiri, bersifat rakus, tamak, sanggup mendapatkan sesuatu yang bukan hak mereka sehingga menggadai maruah diri demi memenuhi nafsu mengumpul kekayaan dengan jalan yang salah dan melakukan penganiayaan.
Golongan ini sebenarnya telah berlaku zalim terhadap diri sendiri dan orang lain serta mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan atas bahu-bahu mereka.
Rezeki yang diperolehi daripada sumber haram diberikan pula kepada anak, isteri dan ahli keluarga, maka bagaimanakah hendak melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, keluarga yang ada mawaddah dan sakinah? Lebih malang lagi, hilangnya keberkatan dalam rezeki yang diperolehi.
Ingatlah peringatan dari Baginda SAW dalam hadis :
Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka nerakalah lebih layak untuknya”. (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi)
Perbuatan rasuah merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Terdapat tiga kesan buruk yang sangat besar akibat jenayah rasuah yang berlaku, iaitu:
- Pelaku rasuah (pemberi, penerima atau orang tengah yang menjadi perantara) telah melakukan satu bentuk kezaliman. Hal ini berlaku apabila suapan (rasuah) kepada pihak yang menerima telah mengubah suatu keputusan yang memihak kepada dirinya, dalam masa yang sama menafikan hak orang lain.
- Orang yang dinafikan haknya iaitu orang yang dizalimi ini, bahawa doa mereka didengari dan dikabulkan oleh Allah SWT. Maka awas dan beringatlah, bahawa lambat laun, mereka yang melakukan jenayah rasuah ini tidak akan terlepas daripada balasan atas perbuatan keji mereka. Jika terlepas di dunia, jangan ingat akan terlepas di akhirat.
- Perbuatan atau perlakuan jenayah rasuah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat kita akan memberi impak negatif yang sangat dahsyat sekiranya tidak dibendung. la boleh menyebabkan keadaan politik yang tidak stabil, ekonomi yang tidak terrus, tata kelola yang tidak teratur, mengancam keselamatan negara, penyalahgunaan kuasa berleluasa, kekayaan dikuasai oleh golongan-golongan
tertentu, yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin ditindas tidak ada pembelaan, maka natijahnya sesebuah negara itu bakal runtuh dan timbul huru-hara akibat jenayah rasuah yang mencengkam umpama api dalam sekam, atau seperti gunting dalam lipatan.
Umum mengetahui, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan agensi yang berperanan dan bertanggungjawab menangani isu-isu rasuah di negara kita.
Dalam usaha SPRM memerangi jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, agensi ini juga memerlukan sokongan dari agensi-agensi kerajaan yang lain, termasuk sektor swasta, korporat, golongan profesional serta pelbagai lapisan masyarakat umumnya, agar berganding bahu bersama-sama SPRM dalam kerangka memerangi jenayah rasuah dan berusaha bersungguh-sungguh menjadikan Malaysia sebagai negara yang bebas rasuah.
Justeru, sama-samalah kita berusaha memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi memperkasa urus tadbir dan tata kelola terbaik dalam perkhidmatan kerajaan, agensi-agensi badan berkanun, badan swasta dan pelbagai lapisan masyarakat umumnya.
Inilah yang dikehendaki dan selaras dengan tuntutan syara’, juga mendokong hasrat kerajaan dalam usaha meningkatkan integriti serta kualiti penyampaian perkhidmatan.