Anak merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki. Sama ada anak lelaki atau perempuan, atau seseorang itu tidak dikurniakan anak, semuanya merupakan aturan Allah SWT Yang Maha Bijaksana.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Syuura ayat 49 dan 50 yang dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud:
“Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya: mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”.
Berdasarkan ayat al-Quran ini, kita dapat melihat beberapa keindahan aturan Allah SWT:
1. Sebahagian manusia dikurniakan anak perempuan sahaja.
2. Sebahagian manusia yang lain dikurniakan anak lelaki sahaja.
3. Ada juga sebahagian manusia yang dikurniakan anak lelaki dan perempuan.
4. Manakala ada juga sebahagian manusia lain yang tidak dikurniakan dengan anak.
Namun, isu penderaan kanak-kanak bukanlah suatu isu baharu. Cuma, sejak kebelakangan ini, isu penderaan kanak-kanak dilihat semakin serius dan sangat membimbangkan.
Statistik dari Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan bahawa pada tahun 2022, sebanyak 6770 kes penderaan kanak-kanak yang dicatatkan manakala pada tahun 2023, sehingga Mei 2023 sahaja, sebanyak 2959 kes penderaan kanak-kanak telah direkodkan.
Sangat menyedihkan apabila mendengar berita penderaan kanak-kanak masih berlaku pada zaman ini. Mereka tergamak mencederakan anak-anak kecil itu lantaran api kemarahan yang memuncak.
Terkadang, anak-anak kecil ini didera bukan sebab kerana kesalahan yang mereka lakukan, tetapi kemarahan ibu bapa atau penjaga terhadap orang lain yang dilepaskan terhadap mereka.
Lebih menyedihkan, ada juga kes penderaan yang berakhir dengan kematian kanak-kanak tersebut. Kita marah dan mengecam rejim zionis Israel yang ketika ini gila menyerang, membedil dan membunuh anak-anak di Gaza. Justeru, apa bezanya dengan pelaku-pelaku yang tergamak mendera kanak-kanak di negara ini? Ketahuilah bahawa anak-anak merupakan ujian buat para ibu bapa. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah Al-Anfal ayat 28)
Anak juga merupakan fitnah atau ujian bagi setiap ibu bapa yang dapat membawa kegembiraan dan kebahagiaan dunia dan akhirat apabila mereka mendidiknya dengan benar pada jalan Allah SWT, atau akan membawa mereka kepada kesengsaraan dunia dan akhirat apabila ibu bapa itu salah cara mendidik anak-anaknya.
Mereka ibarat permata yang perlu dijaga dan dipelihara dengan sangat cermat dan tidak boleh dibiarkan rosak yang akhirnya akan menurunkan nilai dan kualitinya. Merekalah buah hati penyejuk mata kepada para ibu bapa. Sejak lahir mereka dibelai dan disayangi. Mengapa kasih sayang itu semakin berkurang apabila mereka semakin dewasa?
Setiap anak yang dilahirkan itu bersih suci dari noda. Ibu bapalah yang dipertanggungjawabkan untuk mencorak dan membentuk keperibadian anak-anak mereka. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidaklah setiap anak kecuali dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya menjadi Yahudi, Nasrani, atau Majusi”. (Muttafaqun‘alaihi)
Sungguh, ujian kita dalam membesarkan anak pada waktu ini sangat mencabar. Dengan media sosialnya, hiburan yang semakin banyak, ideologi-ideologi karut yang semakin banyak dan bermacam lagi cabaran dunia hari ini. Kita juga diuji dengan beban kesibukan kerja yang semakin bertambah.
Ambillah kesempatan untuk merenung sejenak, berapa lama masa kita habis dengan urusan kerja berbanding masa kita bersama anak-anak? Berapa lama masa kita dengan telefon melayari media sosial berbanding masa kita melayan anak-anak kita? Cuba tatap wajah anak-anak kita yang indah itu.
Dalam butir matanya tersirat pengharapan, dambaan kasih sayang dan perhatian yang sangat tinggi kepada ibu bapanya untuk membelai mereka sebaik-baiknya.
Sesungguhnya anak-anak itu tiadalah galang gantinya. Hargailah keberadaan mereka dengan curahan kasih sayang, didikan agama dan adab, serta kecukupan yang sepatutnya.
Sumber : JAKIM