YTL Communications Sdn Bhd (YES) menawarkan produk terbaru Apple kepada pelanggan termasuk pelan iPhone 15 dan iPhone 15 Plus bermula harga serendah RM21 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wing K Lee berkata, selain ansuran bulanan yang rendah, pelanggan juga tidak dikenakan sebarang bayaran pendahuluan untuk pelan berkenaan serta dapat menikmati kelajuan YES 5G tanpa had.
“Sebelum ini, kami mendapat faedah hasil kerjasama dengan beberapa peranti terkemuka seperti Samsung, Vivo, Oppo, ZTE dan Honor tetapi ada satu jenama yang masih belum kami capai.
“Hari ini menandakan titik perubahan untuk YES 5G.
“Kami berbesar hati mengumumkan bahawa kami kini diperakui sepenuhnya sebagai rakan kongsi terbaru Apple di Malaysia, mengiringi keluaran iOS 17.1.
“Telefon pintar baharu berkenaan layak mendapat rangkaian 5G terbaik di Malaysia dan menawarkan pelan iPhone paling berpatutan di negara ini kerana kami mengalu-alukan Apple menyertai barisan produk YES 5G,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran The Next Chapter yang diadakan di Sentul Pavilion dekat sini pada Khamis.