Sejak kecil sehingga saat ini, percaya atau tidak betapa tak terhitung nikmat dari Allah, Tuhan yang Maha Agung.
Rezeki yang dikurniakan kepada kita harus disyukuri dan dinikmati dengan sebaiknya. Terlalu banyak perkara yang berlaku kepada kita sebagai hambaNya samada secara sedar, mahupun tanpa sedar di sekeliling kita yang membuatkan kita merenung ciptaan Tuhan yang Maha Kuasa.
Rasulullah saw telah bersabda: “Allah mempunyai nama-nama yang indah. Pelajarilah ia dan kamu akan hampir kepada Jannah (syurga)”. Apabila kita menadah tangan dan berdoa kepadaNya, kita minta dengan penuh kesungguhan. Kita merayu dengan penuh penghayatan, kita hambaNya yang lemah, memohon agar dikabulkan segala permintaan.
Sebanyak 99 Nama Allah yang perlu kita ketahui dan fahami maknanya. Sebenarnya, membaca Asma ul Husna adalah zikir yang paling baik dan harus diamalkan pada bila-bila masa dan di mana jua kita berada. Apabila kita membaca dengan penuh penghayatan, kita sebenarnya sedang meminta pertolongan dari Allah.
Nama Allah adalah nama yang teragung bagi Pencipta segala makluk di alam semesta. Di sini saya kongsikan antara Asma ul Husna yang boleh kita jadikan zikir harian dan amalkan bersama.
- Ar-Rahman (Maha Pemurah) : Allah SWT Yang Maha Pengasih, Dia mengampunkan semua makhuk dan Maha Kasih kepada mereka ketika di mereka di dunia. Kita boleh mengamalkan membaca Ya Rahman 100 kali setiap kali selepas solat fardhu untuk menguatkan ingatan dan menajamkan tumpuan fikiran. Selain itu, dengan membaca Ya Rahman 298 kali setiap kali selepas solat Subuh, inshaa Allah mendapat rahmat dari Allah.
- As-Salam (Maha Penyelamat) : Nama ‘Salam’ ini bermaksud aman sejahtera. Jika ada orang berhampiran kita yang sedang tidak sihat, cuba amalkan membaca Ya Salam 111 atau 160 kali padanya dengan cara menghembuskan kepada orang tersebut selepas selesai membaca zikir As-Salam. Kita juga boleh mengamalkan zikir As-Salam ini, di saat ancaman COVID-19 yang menyelubungi kita semua saat ini. Bacaan Ya Salam 115 kali sehari memohon perlindungan dari wabak atau penyakit merebak.
- Al-Fattah (Maha Pembuka) : Al-Fattah bermaksud Dia Maha Membuka jalan. Sekarang ini, musim peperiksaan terutamanya kepada pelajar di institusi pengajian tinggi yang rata-rata sedang mengikuti pengajian secara dalam talian. Mereka boleh mengamalkan membaca Ya Fattah 489 kali selepas melakukan solat sunat hajat dua rakaat, inshaa Allah dengan usaha dan bertawakal beroleh kejayaan dalam menghadapi ujian peperiksaan.
- Al-Wadud (Maha Pencinta) : Allah sentiasa memberi yang terbaik kepada hambaNya, dan bagi memudahkan urusan dunia dan akhirat (Inshaa Allah), sama-sama kita amalkan Ya Wadud 1,000 kali setiap hari, moga Allah memperbaiki urusan kita hendaknya. Bacaan Ya Wadud ini juga boleh diamalkan dengan membaca sebanyak 10,000 kali setiap malam bagi mendapatkan keluarga bahagia tenteram aman damai, Inshaa Allah.
- As-Shakur (Maha Menghargai) : Tanpa mengira kecil atau besar kebajikan yang kita semua lakukan, Allah pasti memberikan ganjaran kebaikan tersebut. Zikir bacaan Ya Shakur ini boleh kita sama-sama amalkan terutamanya bagi menghadapi kebuntuan dan kerisauan, cubalah membaca Ya Shakur 11 kali setiap hari; tanpa mengira waktu siang atau malam, inshaa Allah Allah menguatkan semangat kita menangani dugaan masalah yang menimpa. Di samping itu, bagi sesiapa yang menjalankan perniagaan dan ingin meningkatkan hasil yang lumayan, bacalah Ya Shakur ini sebanyak 41 kali dan kemudiannya hembus ke dalam air, lalu basuhlah muka dengan air tersebut dan semoga kekayaan akan bertambah, Inshaa Allah.
Ini hanyalah sebahagian iaitu lima (5) daripada 99 Nama-nama Allah, dan sebagai permulaan, kita boleh mulakan dengan mengamalkan zikir ini. Seterusnya, nama-nama Allah yang lain harus kita ketahui kerana di dalamnya tersembunyi rahsia dan adalah menjadi suatu kewajipan bagi setiap muslim untuk mempelajari dan memahami nama-nama Allah tersebut.
Sumber : Hassan Mia (2001). Buku Zikir Asma Ul Husna – 99 Nama Allah.