Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia di Kuala Lumpur pagi ini.
Setiausaha Sulit kepada Dato Hanifah Hajar Taib, Nurr Shaffique Abdul Karim menerusi Facebooknya berkata, Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira 4.40 pagi.
“Kembalinya ayahanda YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib yang dikasihi, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud kepada penciptaNya, lebih kurang 4.40 pagi, 21 Februari 2024 bersamaan 11 Syaaban Hijrah.
“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching,” kata hantaran itu.
Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran Facebooknya menzahirkan kesedihan atas pemergian negarawan itu.
“Pemergian Almarhum adalah satu kehilangan besar bukan sahaja buat Sarawak, malah juga Negara. Almarhum juga pernah berkhidmat sebagai Menteri di peringkat Persekutuan sebelum kembali ke Sarawak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya menulis:
“Hari ini adalah hari yang amat sedih bagi Sarawak Darul Hana. Firus yang menerangi Bumi Kenyalang sejak merdeka itu telah kembali kepada Penciptanya.”
Menerusi Facebook beliau menulis, “Hampir seluruh usianya (1936-2024) didedikasikan untuk Sarawak yang kini semakin maju makmur.”
-TVS