Bersempena dengan ulang tahun ke-15 Hitman Group, anak syarikatnya, Hitman Solutions telah membawakan tiga gergasi indie negara seperti Butterfingers, Hujan dan Bunkface dalam sebuah showcase paling epik tahun ini dipanggil ‘UND3RGROUND’ yang baharu sahaja melabuhkan tirainya pada malam tadi dengan kehadiran penonton seramai 6,000 orang di Surf Beach, Sunway Lagoon dengan meriah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, En. Rohit Rampal, “Kami memilih showcase UND3RGROUND bagi meraikan tahun ke-15 penubuhan Hitman Group sebagai penghargaan kepada perjalanan perniagaan yang kami terajui dengan kerja keras yang telah diusahakan selama beberapa dekad ini yang selari dengan pengalaman band-band yang terlibat dalam showcase ini.
“Ia adalah kombinasi yang bersesuaian dengan kejayaan yang telah diraih oleh pengkarya indie negara, bermula dari bawah sehingga dikenali dan disegani, disamping menyediakan platform untuk pengusaha bebas.
Showcase yang bermula pada jam 8:00 malam dan berlangsung sekitar 3 jam menyaksikan persembahan hebat dari ketiga-tiga band indie yang beraksi bersama-sama di atas satu pentas semasa pembukaan Showcase UND3RGROUND. Showcase kemudiannya dihiburkan dengan persembahan selama 45 minit dari setiap band.
Butterfingers yang dianggotai Loque, Emmett, Loko dan Kadax telah mempersembahkan karya-karya nostalgia mereka seperti Taman Tasik Perdana, Tentang Tentang, Garden City Of Lights dan lain-lainnya yang nyata mengimbau kenangan masa lalu.
Seterusnya, kumpulan Hujan pula yang terdiri daripada Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat mengubati rindu peminat mereka dengan lagu-lagu yang pernah mengangkat nama band tersebut seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Mencari Konklusi.
Manakala band Bunkface yang muncul sekitar tahun 2005 menggamatkan keadaan dengan nukilan hits mereka seperti Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi dan juga beberapa lagu baharu.
Tambah En. Rohit, “ Kami menggabungkan showcase UND3RGROUND dengan sambutan ulang tahun ke-15 ini yang merangkumi segala aspek perkhidmatan yang kami sediakan, dari pengurusan acara, penerbitan acara, sehingga rangka promosi showcase, kepada pakar teknikal AV (audiovisual), pemasaran dan juga reka bentuk, bagi memberikan yang terbaik.
Permulaan sejak 15 tahun lalu banyak memberikan pengalaman yang berharga buat En. Rohit sendiri, katanya, “Saya amat bersyukur dan berbangga dengan semua yang terlibat dalam perjalanan ini, keluarga, rakan-rakan dan dedikasi dari pasukan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam semua hal.
“Semuanya bermula ketika saya masih lagi remaja dengan menceburi acara kecil-kecilan sehingga berkembang menjadi syarikat pengurusan acara yang menyediakan bukan sahaja perkhidmatan penerbitan acara serta melabur dalam peralatan showcase, dan kini, kami menawarkan perkhidmatan 360 darjah untuk pakej lengkap. Saya terharu melihat tahap yang telah kami kecapi, dengan sikap yang positif dan pasukan yang betul, semuanya bakal menjadi.
Tahun 2024 menjadi permulaan baharu buat Hitman Group yang semakin menerajui industri pengurusan acara di negara ini dan apabila ditanya apakah perancangan seterusnya buat penggemar muzik, kata En. Rohit, “Jikalau saya diajukan soalan ini 15 tahun lalu, tidak saya jangka pengalaman yang kami tempuhi sekarang ini. Tetapi hakikatnya kami di sini, dan apa yang direncanakan seterusnya? Pastinya lebih besar, lebih hebat dengan industri yang pelbagai dan berskala besar.
“Matlamat kami adalah memberikan pengalaman menakjubkan yang berterusan buat rakyat Malaysia, samada pengalaman showcase, berkongsi momen dengan yang tersayang atau sentuhan istimewa pada acara korporat, kami hanya mahu membina memori yang berpanjangan.