Pendaftaran Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) sesi 2024 dibuka bermula 2 Januari lalu, kata penolong pengurus komunikasi korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Sharizan Mohd Shariff berkata permohonan subsidi yuran taska RM100 itu terbuka kepada keluarga golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai sekurang-kurangnya dua anak berusia empat tahun ke bawah.
“Melalui skim ini, ibu bapa yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima bantuan yuran taska atau pusat jagaan sebanyak RM100 setiap bulan. Permohonan adalah terhad dan boleh dimohon mulai sekarang.
“Bantuan tersebut akan dibayar terus kepada taska atau pusat jagaan anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi https://asuhpintar.yawas.my/web/ dengan pemohon perlu menghantar dokumen lengkap diperlukan dalam tempoh 14 hari bekerja.
Dokumen tersebut adalah salinan sijil kelahiran anak; salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan serta salinan surat perakuan anak angkat/cerai/sijil kematian/pengesahan ibu tunggal/sakit (jika perlu).
Selain itu, dokumen lain iaitu cop pengesahan taraf mastautin (bagi bukan Selangor); dokumen sokongan atau surat akuan sumpah (bagi kes khas) dan slip gaji terkini pemohon dan pasangan.
Berikut antara syarat kelayakan permohonan:
– Warganegara Malaysia
– Lahir serta menetap di Selangor atau tidak dilahirkan di Selangor tetapi menetap sekurang-kurangnya lima tahun
– Pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah
– Suami dan isteri bekerja
– Anak berusia empat tahun ke bawah
– Terhad kepada dua anak sahaja
– Taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
– Ibu dan bapa pengundi berdaftar di Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
-SelangorKini