Semestinya semua orang mengimpikan kehidupan serba moden yang lengkap dengan prasarana canggih dan sofistikated. Malangnya, tidak semua orang sedang menuju ke arah kehidupan tersebut.
Lihat sahaja cara hidup harian kita hari ini, rata-ratanya sedang bergerak ke belakang. Masih di takuk sama kerana sering mengabaikan perkara asas terutamanya berkaitan dengan kebersihan dan penjagaan harta awam.
Sebahagian besar daripada kita dilihat masih melepaskan tanggungjawab tersebut kepada pihak tertentu dengan alasan bukan kerja mereka ataupun ada orang lain yang akan menjaganya.
Sebagai contoh, tengok sahaja apa yang berlaku di kawasan taman rekreasi awam dan juga tempat-tempat awam yang lain, sering dipenuhi dengan sampah sarap di merata tempat. Padahal sudah disediakan tong sampah kecil di sekitar kawasan berkenaan, namun masih ada orang yang tidak mahu menggunakannya.
Perkara tersebut jelas bertentangan dengan ciri-ciri rakyat di negara maju iaitu bertanggungjawab, mempunyai kesedaran sivik dan mempunyai pengawasan yang minimum.
Kalau beginilah sikapnya, maka sukar Malaysia untuk bergerak maju ke hadapan dan menyediakan lebih banyak kemudahan demi kepentingan awam.
Malah, polisi pembangunan negara juga banyak yang akan tergendala kerana kerajaan sibuk membuang masa menjaga, membaiki kerosakan dan mengawas pergerakan setiap rakyatnya.
Malangnya buat negara kita kerana mempunyai fasiliti bertaraf dunia kelas pertama namun rakyatnya masih mempunyai mentaliti kelas ketiga.
Pemikiran yang tidak cerdik seperti itu perlu dibuang dengan meletakkan kesedaran yang paling tinggi bahawa alam sekitar perlu dijaga dengan baik.