Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggang merempuh treler dalam kemalangan di Jalan Muar-Yong Peng, dekat Sri Wangi, Parit Yaani, Batu Pahat, semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu mangsa, Muhammad Danial Ikmal Dinee, 17, maut di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata ketika kejadian, mangsa berasal dari Kukup, Pontian yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z dipercayai dari arah Yong Peng ke Batu Pahat.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh treler dari arah bertentangan.
“Rempuhan itu menyebabkan motosikal mangsa terpelanting ke bahu jalan dan mangsa dilaporkan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Pemandu treler berusia 36 tahun berasal dari Felda Sungai Koyan 1, Pahang tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketika kejadian, keadaan jalan agak basah akibat hujan,” katanya.
Katanya lagi, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta kerjasama orang awam menyaksikan kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Hisyam Ezahar di talian 07- 4327704,” katanya.
Sementara itu, rakaman kamera pemuka (dashcam) berdurasi 26 saat yang tular di media sosial menunjukkan motosikal ditunggang Muhammad Danial Ikmal dilihat ‘lari’ ke kanan sebelum merempuh lori.
Rakaman itu juga menunjukkan kemalangan berlaku sewaktu mangsa menuruni jalan berbukit dengan kedua-dua arah jalan dipenuhi kenderaan.