Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, telah memanggil 26 pemain untuk kem latihan pusat menjelang Pestabola Merdeka bermula Khamis, 29 Ogos 2024 bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 4 hingga 8 September 2024.
Pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi senarai dengan beberapa nama utama seperti Ahmad Syihan Hazmi, Arif Aiman, dan Romel Morales. Sebanyak 18 pemain dikekalkan daripada kempen Kelayakan Piala Dunia, manakala lapan pemain baharu turut disenaraikan.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu Separuh Akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, jam 9.00 malam. Satu lagi perlawanan Separuh Akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di Final pada Ahad, 8 September 2024, jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada Separuh Akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.