Posting video Veveonah Mosibin yang gigih mencari liputan internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian tular dan telah membuka mata banyak pihak.
Veveonah Mosibin yang berusia lapan belas tahun tinggal di Kampung Sabanalang Pitas, Sabah di mana perkhidmatan jalur lebar terhad.
Sebelum hari peperiksan, dia telah membina pondok kecil di atas bukit dimana liputan 3G dikawasan itu agak stabil. Akan tetapi pada hari peperiksaan, dia mendapati pondok itu telah hancur. Veveonah membuat keputusan untuk menjawab peperiksaan di atas pokok sambil camping untuk memastikan hubungan internet stabil. Dia juga bermalam di atas pokok. Bekalan makan malamnya hanyalah nasi yang dibungkus dengan daun. Suasana bermalam di atas pokok tidak begitu tenang kerana kebisingan hutan dan sejuk. Ditemani hanya dengan kelambu.
Untuk info, tidak ada elektrik atau sumber air di rumahnya. Veveonah mengecas telefon bimbitnya di rumah saudara-mara dan jiran-jiran yang mempunyai elektrik.
Walau Veveonah yang baru berjinak-jinak dengan YouTube ini berhadapan kepayahan, tetapi tiada satu pun rungutan keluar dari mulutnya.
Yang hebatnya, video yang dimuatnaik telah dilihat dan dikongsi ratusan ribu kali membuatkan netizen kagum dengannya.
Namun ada juga menyatakan tentang betapa sedihnya kawasan luar bandar kerana terdapat kekurangan dari segi akses internet.
Videonya mendapat respon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mengatakan akan memasang menara telekomunikasi baharu untuk meningkatkan hubungan dan meningkatkan liputan di kawasan itu menjadi 4G.
Selepas videonya viral, Veveonah mendapat perhatian penuh sehinggakan mendapat tawaran biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran!