Setiap kali musim cuti sekolah, pastinya ibu bapa akan merancang aktiviti menarik untuk dilakukan bersama keluarga. Namun, oleh kerana cuaca di Malaysia kebelakangan ini tidak menentu, dan perubahan cuaca yang tidak dapat dijangka akan mempengaruhi ibu bapa untuk merancang percutian bersama keluarga.
Kini, terdapat banyak taman tema tertutup yang dibuka bagi memberi peluang buat keluarga untuk beriadah dan melakukan aktiviti menarik bersama. Antaranya, Wetland Studio Putrajaya yang terletak dalam Taman Wetland Persint 13, Putrajaya. Kawasan tanah lembap air tawar buatan manusia terbesar di kawasan tropika, Taman Wetland Putrajaya mempunyai lebih 200 spesies burung tempatan dan burung migrasi. Nikmati keindahan taman yang menakjubkan bersama keluarga dan rakan-rakan melalui pengalaman siang dan malam yang berbeza yang tidak boleh dilepaskan apabila anda melawat Putrajaya, Malaysia.
Namun, berbeza pula dengan Wetland Studios, ia mempamerkan pelbagai animatronik yang besar dan replika kedua-dua spesies yang telah pupus dan terancam yang pernah menghiasi planet kita yang indah, selain yang ditemui hari ini.
Anda juga akan terpukau dengan zon pameran yang berwarna-warni dan semestinya dipenuhi dengan ruang OOTD di segenap ruang yang terdapat dalam Wetland Studios. Para pengunjung juga berpeluang untuk mempelajari tentang ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, ikan, serangga, pokok dan bunga, termasuk T-Rex, Stegodon dan Megalodon yang popular.
Apabila anda melangkah masuk ke dalam Wetland Studio Putrajaya, anda akan disambut dengan suasana seperti dalam hutan tropika yang menenangkan, bagi golongan yang lahir pada 90-an, anda pasti akan teringat akan teater muzikal Siti Di Alam Fantasi yang mengisahkan pegembaraan seorang remaja Siti yang bertemu dengan pelbagai jenis haiwan dalam mencari geliga batu.
Taman tema edutainment dalaman dipacu teknologi unik yang mempromosikan kesedaran alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar ini menceritakan tentang kepentingan air dan peranan yang dimainkan dalam menyokong kehidupan di bumi. Malah, melalui pameran figura animatronik yang mampu bergerak pastinya akan memberikan pengalaman yang baru dan seronok buat anda sekeluarga dan semestinya satu pengalaman yang tak boleh dilupakan. Melalui pameran ini juga boleh membentuk masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Terdapat juga zon interaktif yang boleh dilakukan bersama-sama. Disamping itu, terdapat beberapa watak animasi seperti Zan si Orang Utan, Sam, Rosy, Atok dan beberapa watak lain.