Kebelakangan ini saluran televisyen di Malaysia masih lagi kerap menayangkan drama yang tidak menekankan nilai pendidikan kepada masyarakat. Isu remeh temeh seperti kahwin paksa dan skandal dengan latar belakang cerita yang ternyata bukan berdasarkan jati diri sebenar bangsa ditonjolkan.
Cerita yang hanya berkisar kepada soal cinta adaptasi daripada novel picisan masih menjadi rencah utama cerita sebagai pusingan modal produser mahupun pengarah kita, dengan alasan cerita sebegini mampu menarik perhatian penonton dan menjamin hasil pulangan lumayan.
Tanggungjawab mendidik bukan sekadar terletak pada guru atau pihak pentadbir sekolah mahupun Kementerian Pendidikan, malah harus menjadi tanggungjawab semua pihak.
Sebagai pemain dalam industri, peranan sebagai pendidik kepada penonton adalah melalui hasil garapan yang ditayangkan kepada khalayak. Ilmu yang disampaikan tidak semestinya perlu dalam bentuk formal, namun boleh disampaikan sebagai selingan atau pencetus konflik dalam drama yang dibuat.
Lambakan contoh dapat dilihat melalui drama-drama dan filem luar negara yang bergenre medik, siasatan, undang-undang, dan lain-lain selain daripada genre cinta.
Tidak sekadar mendidik, dakwah juga boleh disampaikan menerusi drama dan telefilem dengan lebih berkesan kerana ianya ditampilkan secara menghiburkan. Malangnya kita terlalu banyak disogokkan dengan cerita berunsurkan cinta ‘rapuh’ yang tidak mampu mengajak masyarakat berfikir secara rasional, kreatif dan kritis.
Malah, pakej hiburan sampingan ditawarkan pula penuh dengan cerita berunsur tahyul yang jelas merosakkan akal dan iman penonton yang majoritinya beragama Islam.
Ia wajar digantikan dengan isu yang sarat nilai/ seperti perjuangan seorang anak yang belajar bersungguh – sungguh untuk menggapai cita-cita dan membangunkan kerjayanya sehingga berjaya serta banyak lagi kisah yang boleh mengajak penonton berfikir.
Oleh itu, sebagai penonton yang mempunyai kuasa memilih jenis hiburan, pilihlah hiburan yang mendatangkan manfaat dan tidak hanya sekadar berhibur semata-mata.