Daripada wajah Kate Middleton yang ‘diambil’ daripada muka depan majalah lain, kepada keanehan pada pakaian anak-anaknya, gambar Hari Ibu yang dikeluarkan Istana Kensington pada Ahad, membuatkan spekulasi semakin rancak diperkatakan.
Kajian terperinci imej pada gambar terbaharu Princess of Wales itu menunjukkan piksel pada sekurang-kurangnya 26 kawasan telah diubah dengan ketara.
“Seperti kebanyakan jurugambar amatur, saya kadang-kadang bereksperimen dengan penyuntingan.
“Saya ingin membuat permohonan maaf atas sebarang kekeliruan yang disebabkan oleh gambar keluarga yang kami kongsi semalam,” kata Kate dalam kenyataan pada Isnin.
Istana Kensington terdahulu mengumumkan Kate menjalani “pembedahan abdomen yang dirancang” pada 17 Januari, namun tidak memberikan maklumat berkenaan pembedahan itu secara terperinci.
“Pembedahan itu berjaya, dan Kate dijangka akan berada di hospital selama 10 hingga 14 hari, sebelum meneruskan pemulihan di rumah,” kata kenyataan itu.
Mengikuti “nasihat perubatan semasa,” Kate dijangka tidak membuat kemunculan semula sehingga selepas perayaan Easter, yang jatuh pada 31 Mac tahun ini, menurut kenyataan awal istana.
Malah turut dilaporkan terdapat kelibat ambulans keluar dari Istana, namun tiada pengumuman rasmi dikeluarkan oleh pihak Istana. Ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warga net dan secara tidak langsung wujudnya pelbagai spekulasi mengenai kejadian ini.
Selain gambar yang dikeluarkan pada Ahad, Kate tidak pernah ditemui di mana-mana acara sejak kebelakangan ini. Satu-satunya foto terbaharunya ialah gambar paparazi yang diterbitkan oleh TMZ pada 4 Mac lalu.
Kate dilihat berada di tempat duduk penumpang dalam kenderaan yang dipandu oleh ibunya, Carole, berhampiran Istana Windsor.
Ketiadaan penampilan umum oleh Kate telah mencetuskan tanda tanya dan teori konspirasi sama ada Kate masih hidup atau perkahwinannya dengan Putera William sedang bermasalah.
Tidak ketinggalan juga yang mengaitkan misteri kehilangan Kate dengan kematian mengejut Thomas Kingston yang merupakan bekas teman lelaki kakaknya, Pippa Middleton dan suami kepada Lady Gabriella, sepupu kedua Raja Charles III.
Malah teori yang lebih ekstrem turut membuat perkaitan dengan Rose Hanbury, seorang bekas peragawati dan rakan baik Kate, yang didakwa pernah menjalin hubungan sulit dengan William.
Namun tiada satu pun teori-teori berkenaan berjaya dibuktikan.
Jack Royston, seorang pengulas diraja sebelum ini meluahkan rasa pelik tentang bagaimana Istana begitu berahsia mengenai kesihatan dan keberadaan Kate.
“Perkara yang pelik ialah Istana boleh membuat semua spekulasi hilang dengan satu gambar Kate, tetapi mereka nampaknya tidak mahu berbuat demikian,” kata Royston.
BBC dilaporkan menerima beberapa petunjuk akan berlakunya pengumuman rasmi dari pihak Istana pada bila-bila masa sahaja berikutan isu yang tular mengenai Kate Middleton ini. Desas desus ada mengatakan bahawa Kate sudah tiada, namun warga net masing-masing masih menunggu laporan rasmi yang bakal dikeluarkan.