Seorang jemaah haji berusia 57 tahun meninggal dunia di sini pada 11.50 malam, 4 Jun lepas akibat kegagalan jantung.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang memaklumkan perkara berkenaan berkata, wanita berasal dari Raub, Pahang itu meninggal dunia di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di sini.
“Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya melalui sidang media perkembangan operasi haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah, di sini.
Tambah beliau, pihak kaunselor TH telah melawat suami Allahyarham yang juga berada di Makkah untuk menunaikan haji, selain TH akan menguruskan badal haji untuk Allahyarhamah.
Selain itu, Syed Saleh berkata, setakat ini, seramai 37 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala 10 lagi di Hospital Arab Saudi kerana mengalami masalah pernafasan dan jantung, jangkitan paru-paru, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 22,800 atau hampir 72 peratus daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Makkah sehingga hari ini.
Sumber : BERNAMA
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official