Bagi memartabatkan keunikan seni, budaya dan warisan, Istana Budaya (IB) tampil dengan beberapa program menarik termasuk melancarkan buku rekaan kostum ilmiah, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor kebudayaan, tahun ini.
IB dengan tiga produk utama iaitu Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA) bakal meneruskan siri jelajah ke beberapa lokasi bagi membangunkan kecemerlangan artistik dalam seni persembahan bertaraf dunia.
Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar, berkata biarpun fungsi IB sebagai pembekal lokasi acara kesenian ditangguhkan sementara dengan projek pengubahsuaian premis ikonik itu, namun, pihaknya masih menganjurkan tiga program utama untuk dipersembahkan kepada masyarakat.
“Antara tiga program yang bakal dianjurkan tahun ini adalah Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia, Lambang Sari Series dan Teater Muzikal Puteri Hang Li Po.
“Ini adalah peluang terbaik buat IB membawa persembahan bertaraf dunia dekat dengan masyarakat. Antara lokasinya adalah Melaka seiring dengan Tahun Melawat Melaka 2024.
“Perancangan yang akan dibawa sepanjang tahun ini dilihat mampu merancakkan lagi sektor pelancongan dan kebudayaan Malaysia,” katanya pada majlis peluncuran program Istana Budaya 2024 dan buku rekaan kostum di Balai Seni Negara di ibu negara, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Majlis itu turut dihadiri, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad.
Zubaidah berkata, Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia adalah projek kerjasama IB dengan institut pengajian tinggi awam dan swasta.
Antara lain, program itu membabitkan mahasiswa dan alumni sebagai platform seni persembahan dan perkongsian ilmu muzik tradisional Malaysia menerusi bengkel yang bakal dianjurkan.
Zubaidah berkata, kejayaan program Lambang Sari Series diteruskan tahun ini atas faktor penjualan tiket di luar jangkaan, tahun lalu. OSK kekal membawa corak muzik unik, klasikal dan pop dengan tema Klasikal Barat, Patriotik dan Bersama Bintang untuk tahun ini.
Teater Muzikal Puteri Hang Li Po pula kembali dihidupkan dengan nafas baharu dengan mengimbau sejarah kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, IB pada 2004.
Signifikasi pementasan ini juga adalah meraikan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) yang akan dipentaskan secara eksklusif di pentas Encore Melaka.
“IB turut berbesar hati mengumumkan penerbitan dua buku rekaan kostum, iaitu Teater Muzikal Hang Li Po dan Muzikal Cheng Lock serta Teater Kanak-Kanak Muzikal Ali Baba dan Muzikal Sinbad.
“Buku rekaan kostum ini adalah penerbitan ilmiah dalam memberi pendedahan mengenai proses rekaan dan penyediaan kostum yang digunakan dalam persembahan terbitan IB,” katanya.
Zubaidah turut mengumumkan IB memperoleh nilai publisiti media lebih RM750 juta bagi keseluruhan pembabitan panggung seni utama negara, sepanjang 2023.
Tambahnya, jumlah itu diambil kira daripada pementasan dan program anjuran IB serta program kerjasama dengan MOTAC selain jabatan, agensi atau institusi di bawah kerajaan.
“Kejayaan melaksanakan 29 program dengan nilai publisiti media lebih RM750 juta tahun lalu menjadi sebahagian daripada manifestasi keupayaan IB.
“Tahun lalu juga memperlihatkan IB mengumpul 154,607 khalayak seni budaya, sekali gus membantu kepada kepesatan industri serta pulangan terhadap penjanaan ekonomi kebudayaan.
“Justeru, penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan tertinggi MOTAC, rakan media dan strategik serta semua pemain yang terus memberi sokongan padu kepada IB,” katanya.
-BH