SLOGAN Malaysia MADANI baru mencecah usia kira-kira tujuh bulan sejak ia dilancarkan pada 19 Januari 2023.
MADANI dalam sebuah pengertian merujuk kepada tatakelola adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.
Malaysia MADANI mahukan konsep pimpinan Nabi Muhammad S.A.W itu didokong oleh setiap warganya berbilang kaum dan agama.
Namun bagi menjayakan agenda baharu kenegaraan serta kemasyarakatan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia perlu diajari dan diperjelaskan secara total untuk difahami sebelum dapat diterima lalu diangkat oleh semua.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pimpinan Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengambil insiatif proaktif bagi mencapai maksud tersebut.
Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kini diberi peranan oleh KPT untuk menyebarluaskan Malaysia MADANI menerusi beberapa program.
Antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menganjurkan Debat Perdana MADANI pada 21 Ogos lalu.
Mungkin ada yang tertanya bagaimana sesebuah program debat dapat menjayakan agenda sebesar Malaysia MADANI?
Debat bukan sekadar komunikasi yang terstruktur antara dua atau lebih pihak secara aktif berhujah terhadap perkara tertentu.
Ia bakal mendorong kepada sebuah pemikiran yang kritis melibatkan analisis mendalam sekali gus merungkai banyak isi penting.
Ia juga secara tidak langsung berfungsi umpama ‘semak dan imbang’ dalam membentuk Malaysia MADANI yang terbaik.
Debat mempengaruhi ramai pihak untuk berfikir, memeriksa fakta dan mengembangkan argumen kukuh mengenai perkara didebatkan.
Maka menganjurkan Debat Perdana MADANI menjadi salah sebuah alur nan berkesan dalam merencanakan Malaysia MADANI.
Debat Perdana MADANI hanya salah satu daripada banyak pengisian bersifat praktikal oleh KPT untuk memacu hasrat perpaduan.
IPT selain UKM akan melaksanakan program masing-masing bersama membantu gagasan besar Malaysia MADANI yang bersifat etos nasional.
Sememangnya IPT harus memainkan peranan sebagai barisan hadapan dalam menggamit maksud Malaysia MADANI.
Sejarah menyaksikan sebahagian pembangunan dan kemajuan insani diaspirasikan oleh para ilmuan dan cendiakawan dari pendidikan tinggi.
Contohnya, Universiti Al-Azhar melahirkan Allahyarham Yusuf al-Qaradawi yang mempengaruhi gerakan dakwah dan geopolitik Islam.
IPT umpama gedung ilmu yang di dalamnya penuh dengan khazanah tidak terhingga nilainya lantas menjadi rujukan ramai.
Ia mengeluarkan manusia berkualiti yang berhemah serta mempunyai kesedaran dan tanggungjawab kepada masyarakat.
Pakar dalam pelbagai jurusan ini bakal menerapkan Malaysia MADANI dalam pemikiran dan pengetahuan iktisas yang ada pada mereka.
Justeru, IPT mampu mencerakin dan menelusuri gagasan Malaysia MADANI daripada pelbagai dimensi agar difahami masyarakat.
Seperti kata Menteri Pendidikan Tinggi, Malaysia MADANI bukan sahaja tentang sistem nilai yang unggul atau idea besar.
Lebih utama, kata beliau lagi, ia adalah satu seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanah air.
“Kita sangat memerlukan pandangan, kritikan serta saranan dari golongan bijak pandai.
“Kita tidak mahu menjadi mereka yang angkuh berasa hanya kita sahaja yang betul atau mereka yang masuk bakul angkat sendiri.
“Kita tidak mahu menjadi bangsa taasub dan takjub dengan idea dan pandangan dilantun dalam kamar pemikiran sendiri yang sempit”.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official