Perniagaan Pengantaraan (e-hailing) ialah satu perkhidmatan yang disediakan untuk menempah perkhidmatan pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik. Perkhidmatan ini adalah termasuk kenderaan e-hailing dan teksi.
Kenderaan e-hailing ialah kenderaan persendirian yang digunakan untuk memberi perkhidmatan pengangkutan awam kepada penumpang yang menempah melalui aplikasi elektronik seperti Grab dan Uber.
Pada masa kini, perkhidmatan pemandu e-hailing digunakan secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat setiap kali ingin menuju ke destinasi tertentu.
Namun, dilema sebagai seorang pekerja pemandu e-hailing yang beragama Islam untuk membawa dan menghantar penumpang ke tokong, kuil, gereja dan lain-lain. Adakah ianya dibolehkan atau kita tidak sepatutnya menghantar penumpang tersebut dan mengambil upah daripadanya? Ikuti jawapan penjelasan selanjutnya di bawah.
Penjelasan
Agama Islam adalah agama yang penuh rahmah dan menuntut umatnya berkelakuan baik kepada manusia lain termasuk orang bukan Islam, kecuali pada mereka yang jelas mengancam agama Islam. Selain itu, Islam tidak melarang umatnya bermuamalat dengan orang bukan Islam dalam urusan duniawi yang memberi kebaikan kepada kehidupan muslim.
Firman Allah SWT:
Maksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”.
Surah al-Mumtahanah (8)
Bagi urusan berkaitan jual beli sesama orang Islam dan orang bukan Islam, ia adalah diharuskan selagi mana tidak ada larangan daripada syarak.
Selain itu, diriwayatkan dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara ansuran dan mencagarkan baju baginda sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda s.a.w”.
Riwayat Muslim
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ulama bersepakat atas keharusan bermuamalat dengan orang bukan Islam.
Namun begitu, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan.
Hukum jual beli dan mengambil upah daripada sesuatu yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran adalah tidak sah dan haram sekiranya diketahui dan wujud sangkaan kuat berkenaan tujuannya yang cenderung kepada perkara yang haram atau memang haram. Perkara ini didasarkan dengan firman Allah SWT:
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, serta janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan.”
Surah al-Ma’idah (2)
Justeru, orang Islam diwajibkan untuk menghindarkan diri daripada memberi perkhidmatan kepada perkara yang jelas haram dan dimurkai Allah SWT. Perbuatan ini dianggap sebagai bantu-membantu dalam melakukan dosa.
Sekiranya seorang muslim didatangi orang yang meminta bantuan ke arah kemaksiatan, maka wajib baginya untuk mencegah sekadar yang mampu.
Ini berdasarkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman”.
Riwayat Muslim
Walau bagaimanapun, telah jelas bahawa tujuan asal pemandu e-hailing menyediakan perkhidmatan adalah untuk memudahkan pelanggan tiba ke destinasi yang ingin dituju dan bukanlah secara langsung berniat ingin membantu pelanggan ke arah kemaksiatan dan kesyirikan.
Berikutan sistem di aplikasi e-hailing seperti Grab, pemandu tidak mengetahui secara tepat tentang lokasi yang ingin dituju sebelum tiba di pickup location; iaitu lokasi mengambil pelanggan dari tempat semasa. Setelah tiba di lokasi semasa pelanggan, peta laluan dari lokasi semasa ke lokasi yang ingin dituju akan terpapar.
Walaupun lokasi tersebut ditanda pada kawasan rumah ibadat agama lain, namun besar kemungkinan pelanggan ingin menuju ke destinasi berhampiran yang dibenarkan syarak dan bukan secara langsung ingin ke rumah ibadat. Justeru, hal ini merupakan sesuatu yang berada di luar kawalan pemandu e-hailing dan sukar untuk dielakkan.
Pendapatan yang diperolehi adalah halal sekiranya perkhidmatan yang disediakan tidak jelas menjurus kepada perkara yang haram atau menyokong kepada kemaksiatan.
Kesimpulannya, Hukum pemandu e-hailing menghantar penumpang ke rumah ibadat agama lain adalah harus di sisi syarak dan pendapatan daripada Grab adalah sah jika tidak ada sangkaan yang kuat bahawa penumpang tersebut sememangnya menuju ke destinasi yang diminta untuk berbuat maksiat dan kesyirikan.
Besar kemungkinan penumpang ke tempat berkenaan atau ke tempat yang berhampiran atas tujuan yang dibenarkan syarak.
Dalam masa yang sama, ia juga agak merumitkan bagi pemandu untuk membatalkan permintaan kerana destinasi yang dituju hanya dapat diketahui setelah tiba di Pickup Location.
Sekiranya dibatalkan ketika pemandu tiba di Pickup Location, pemandu akan menanggung kerugian dan mungkin dikenakan tindakan penalti oleh pihak Grab.
Namun, sekiranya pemandu e-hailing mendapati bahawa perkhidmatan tersebut kebiasaannya dilazimi dengan perkara-perkara yang haram, maka wajib baginya meninggalkan pekerjaan tersebut.
Ia juga agak merumitkan bagi pemandu untuk membatalkan permintaan kerana destinasi yang dituju hanya dapat diketahui setelah tiba di Pickup Location.
Sekiranya dibatalkan ketika pemandu tiba di Pickup Location, pemandu akan menanggung kerugian dan mungkin dikenakan tindakan penalti oleh pihak Grab.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemandu e-hailing mendapati bahawa perkhidmatan tersebut kebiasaannya dilazimi dengan perkara-perkara yang haram, maka wajib baginya meninggalkan pekerjaan tersebut.
Jika tujuan pelanggan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk tujuan maksiat atau syirik dengan jelas buktinya seperti pengakuan daripada pelanggan itu sendiri, maka pemandu diharamkan untuk memberikan perkhidmatan tersebut.
Dinasihatkan kepada pemandu, jika dapat dilihat dengan jelas melalui aplikasi lokasi yang dihajatkan oleh pelanggan itu tertera dan ternyata ia adalah tempat maksiat, maka setiap pemandu yang beriman dituntut untuk elak daripada menerima tugasan itu.
Sumber : Mufti Wilayah
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official