Tahun 2000 — Wan Kamarudin (Wan K) sangat naif. Dia bekerja di media TV dengan kepakaran analisis data. Satu kerjaya yang mengendalikan kajian bagi prospek pemasaran dan pengiklanan.
Di NTV7 pada tahun itu — Wan K ‘part time’ sebagai pembaca berita; fokusnya pada liputan utama 8 malam.
Saya tiba di NTV7 sekitar Mei 1999 — kami hanya bertegur-sapa pada awal tahun 2000.
Itu pun kerana satu sebab: “Saya mencari hos berwajah naif bagi program yang lasak dan kasar bahasanya.”
EDISI SIASAT WAN K
Selain logo jam poket sebagai imej utama montaj Edisi Siasat; Wan K ialah “wajah” bagi program ini.
Montaj jam poket Edisi Siasat dengan muzik latar band U2 — tidak pernah melekat dalam ingatan penonton.
Orang hanya cam wajah Wan K.
DIA SANGAT NAIF
Sebagai penerbit yang membesar di jalanan sebelum menjadi wartawan; bagi saya — Wan K sangat naif.
Dia dibesarkan dalam keluarga yang tinggi budi pekerti dan Wan K sangat terpelajar.
Secara personaliti — dia sangat bersopan dan tinggi adabnya.
Saya faham itu.
Cuma — Edisi Siasat satu eksperimen; kalau ada hos yang naif dan hensem; ia akan meredakan sikit tekanan bahasa dalam skrip yang sangat liar.
Saya fikir: “Wan K orang yang tepat kalau mahukan program laporan penyiasatan yang daring — tapi hosnya skema.”
Betul… Wan K berjaya menjadikan program bajet kecil ini mendapat perhatian penonton.
Kos per episod Edisi Siasat hanya RM400. Itu kos zaman kemelesetan ekonomi; ketika stesen TV masih terjejas teruk akibat krisis matawang Asia 1998.
WAN K PUTUS CINTA
Bab ini paling ingin saya susun; sebab kisahnya menyentuh hati.
Tetapi, Alhamdulillah — Wan K kini sudah lama bergelar suami dan bapa. Hidupnya bahagia.
Jadi, saya sudah lupakan kisah: “Putus cinta kerana si gadis memilih belajar di luar negara.”




DARI EDISI SIASAT KE GARISAN KRISIS
Selebihnya — saya lebih mengingati Wan K yang menemani perjalanan menyiapkan program TV di garisan krisis.
Antaranya — di Afghanistan, Wan K dan Dang Suria ialah hos pilihan ketika mengembara selama 14 hari pada 2006.
Kami merakamkan 6 episod khas; kesan tinggalan panjajahan Rusia, krisis perang saudara dan penjajahan Amerika Syarikat.
Tahun 2006 — di Afghanistan; kami menderita wabak diarrhea yang teruk. Sulit diceritakan. Saya pengsan ketika sampai ke Pakistan kerana terlalu banyak kehilangan air.
Wan K melaluinya dengan selamat — dan itu kenangan tragik. “Diarrea yang teruk dan hingga kami terpaksa ‘membuang di belukar dan celahan lalang panjang’.
Sangat menyeksakan; dan ia berulang kali sepanjang 4 atau 5 hari terakhir sebelum pulang ke Pakistan.
Selebihnya ‘airmata’; kerana terkesan melihat kelaparan dan penderitaan jutaan manusia dari Jalalabad ke Kabul — sampai ke Bamiyan.
WAK K
Dia hos sentimental; kalau segmen berita ganas Edisi Siasat — sesi hos tak ada isu.
Wan K akan melanyak dengan wajah naifnya; “Apa kejadahnya ini semua? Otak di kepala lutut! Pihak berkuasa takkan nganga saja!
Tetapi, kalau ada isu sedih; kena beri dulu Wan K tonton kisahnya sebelum bersiaran.
Lepas previu, air matanya menitis; selepas hilang sebaknya; baru mulakan rakaman.
Kena buat begitu; Wan K perlu kelihatan “tabah” sebagai hos program yang ganas.
Walaupun sebenarnya — dia jenis ‘lelaki yang menangis’.
Yap. Itu boleh disahkan… sebab saya kerap melihatnya menitiskan air mata setiap kali selepas priviu segmen yang menyeret derita manusia.
#zrastrim