Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) dalam satu kenyataan pada 4 Julai 2023 memaklumkan bahawa fenomena El Niño telah bermula dan kekuatannya dijangka meningkat pada penghujung tahun 2023 sehingga awal tahun 2024 dengan kebarangkalian melebihi 90%.
Fenomena El Niño terjadi apabila berlakunya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5°C berbanding nilai purata jangka panjang.
Fenomena El Niño biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.
Pada awal tahun 2024, fenomena El Niño dijangka akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak di mana negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan.
Ini seterusnya akan mengakibatkan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah hujan serta mampu menyebabkan keadaan jerebu merentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal.
Semasa keadaan cuaca panas, sema pihak dinasihatkan supaya mengamalkan langkah penjimatan dalam penggunaan air.
Orang ramai turut dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan dan minum air secukupnya.
Disamping itu, MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37.0°C untuk 3 hari berturut-turut.
Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official