Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya, bahasa, dan agama yang hidup dalam harmoni dan saling menghormati. Setiap tahun kita meraikan banyak perayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan bangsa.
Oleh itu, terdapat banyak perayaan yang disambut oleh rakyat Malaysia sepanjang tahun dengan penuh semangat dan harmoni. Antara perayaan yang menjadi tumpuan adalah Deepavali.
Sambutan perayaan Deepavali atau Diwali di Malaysia adalah satu peristiwa yang menunjukkan kepelbagaian budaya dan agama di negara ini. Perayaan ini adalah perayaan utama bagi masyarakat India di Malaysia, terutamanya yang beragama Hindu. Ia turut juga disambut oleh penganut Sikh, Jain dan Buddha sebagai tanda kemenangan cahaya atas kegelapan, kebaikan atas kejahatan.
Musim perayaan adalah musim keluarga. Inilah masanya untuk kita berkongsi, masa untuk bergembira berdoa bersama-sama, berterima kasih memaafkan, dan juga berdamai setelah sekian lama bertelagah. Disaat kita menyambut perayaan jugalah kita mengeratkan silaturrahim sesama keluarga dan sahabat.
Diwaktu musim perayaan ini jugalah merupakan musim keluarga untuk berpelukan setelah lama tak berjumpa, masa untuk berkongsi cerita bersama sanak saudara. Walaupun adakalanya akan ditanya soalan yang mencemaskan, ketika itulah kita dapat luangkan masa bersama-sama dan belajar tips-tips masakan dan kehidupan. Ketika ini juga anak muda dapat berbakti untuk keluarga dengan membantu memasak, mengemas rumah dan membuat persediaan untuk meraikan perayaan, seperti menghias Kolam bersama-sama untuk meraikan Pesta Cahaya ini.
Musim perayaan ini juga adalah masa untuk mengekalkan budaya dan tradisi seperti menyalakan pelita dan lilin di rumah mereka, mengenakan pakaian cantik, menyediakan hidangan khas seperti muruku, ladu, dan tosai, serta mengadakan doa dan upacara di kuil-kuil.
Perayaan yang hanya diraikan setahun sekali ini perlu diraikan sebaiknya kerana ketika itulah masa yang dapat digunakan untuk berbahagia dan berkongsi kasih sayang bersama keluarga.
Saksikan video menarik ini yang diibawakan oleh Indah Water Konsortium. Kisah mengenai perjalanan Deepavali Devi, seorang gadis desa yang memahami makna sebenar perayaan Deepavali dalam kehidupan seharian yang sibuk. Cerita mengenai cubaan Devi ‘melarikan diri dari keluarga’ ini lucu serta menyentuh hati. Tonton sekarang untuk menyelami pengalaman Deepavali yang penuh makna.