Dua pembunuhan yang gagal menyebabkan si budak yang mimpikan kematian T L – kini hidup dalam ketakutan.
Maut berkitar di antara lampu-lampu jalan yang sunyi serta bunyi dua das tembakan; satu mengena di kepala dan satu lagi menembusi dada kiri.
“Hairan,” fikir si budak: “Aku seperti membunuh hantu yang tak pernah mahu mati. Dia terus hidup dan hidup kembali.”
2
Filem T L mesti berakhir dengan aksi si budak meletakkan tapak kakinya di atas dada mayat mangsa yang mati dibunuh.
Malah, sambil menekan kasut ke dada mangsa – si budak harus memandang pada muncung Smith & Wesson 500 Magnum dengan penuh rasa bangga.
Itu aksi penutup yang penuh tragedi dan tanda bermulanya kehidupan si budak sebagai tukang maut dan pembunuh upahan menggantikan si mati.
Smith & Wesson bermuncung panjang dengan peluru kaliber .50 memiliki daya hancur yang luar biasa. Kalau dasnya terkena menepati kepala mangsa; separuh otak dan tengkorak akan bersepai.
Kalau tepat pada dada kiri; seluruh jantung dan tulang rawan serta lambungnya pasti berkecai.
“Dua kali aku menembak dan kena tepat pada kepala dan dada,” dengus budak itu: “Aku mendengar dentum 500 Magnum dan pelurunya meluru pada kelajuan 632 meter sesaat, tetapi hanya menembusi kepala dan dada saja.”
Si budak bingung dan hairan: mengapa peluru .50 itu tidak meletup dan menyepaikan kepala atau dada si mangsa?
Atau, mengapa setelah peluru itu menembusi kepala dan dada si mangsa – ia masih tidak dapat membunuhnya.
Malah, mangsa hanya sekadar jatuh terduduk atau rebah sesaat – sebelum bangun semula dan berdiri memandangnya dengan senyum yang sinis.
“Pastikan kau lebih bersedia,” kata mangsanya: “500 Magnum dan kaliber .50 hanya ibarat gula-gula getah.”
Si mangsa memang rebah terduduk. Tetapi hanya sebentar. Sebelum bangun semula dan membetulkan rambut yang bersikat rapi. Atau, menyapu bahagian dada jaket hitamnya yang berlubang kecil ditembusi peluru.
Sambil tersenyum juga, si mangsa akan berjalan pergi dan menghilang dalam kegelapan malam. “Celaka,” rungut si budak: “Aku seperti menembak hantu!”
Sambil melihat kelibat si mangsa yang perlahan-lahan melenyap pergi dalam gelap; si budak terkedu dan memikirkan: betapa sial nasib dirinya yang masih gagal mengakhiri hidup T L.
3
Siapa T L?
“Dia bapaku,” kata si budak: “Bapa kandungku!”
Di jalanan – pada hari-hari biasa ketika cuaca jadi muram kerana bahang matahari menikam kepala; budak itu akan duduk di kerusi di bawah teduhan pohon tembusu. Matanya meredup di balik bayang-bayang sudu topinya.
“Kalau aku dapat membunuhnya sekarang,” fikirnya: “Itu satu-satu peluang untuk menguasai semuanya. Akulah T L yang baru.”
Si budak – pada usia belasan tahun – ketika sudah lima atau enam kali dihantar untuk membunuh segala macam orang, kini berasa dirinya diabaikan.
“Bapaku memang tak guna,” katanya: “Aku harus menembaknya sampai mati dan biar orang tahu – dia mati di tangan anaknya sendiri.”
Si anak duduk di bangku ketika cuaca membahang dek terik matahari bulan April. Wap panas membakar ruang udara. Aspal jalan nampak berkuap seperti dituang air panas.
Di balik dinding kaca – si tukang gunting rambut mengendap dari balik cermin gelap. Dia berasa sangat gerun melihat si budak masih duduk menyilangkan kaki di kerusi seberang jalan mengadap kedainya.
Cuma, sejak kematian ibu bapanya – budak itu selalu menyepi begitu. Duduk menyediri dan ada kalanya kelihatan cemas dan matanya liar seperti memerhatikan sesuatu.
Kalau siang hari – budak itu hanya muncul sekejap saja. Selalunya, dia lebih kerap keluar pada waktu malam terutama ketika musim hujan yang panjang.
4
“Ini penjelasanku,” kata T L: “Walaupun, aku tak perlu menjelaskan apa-apa….”
Si budak mengangkat muka: “Dia ibuku… dan mati di rumah ini serta mayatnya terpaksa kukambus pada malam hari.”
“Dengar sini,” kata T L: “Aku perlukan kau untuk melupuskan mayatnya kerana aku tak mau masalah makin memburuk kalau polis atau sesiapa tahu yang ibumu mati di sini.”
“Aku syak kau yang membunuhnya,” kata si budak.
Mata T L bulat membuntang.
“Celaka…,” dengusnya: “Berani kau tuduh aku membunuh isteriku sendiri.”
Si budak memandang wajah bapanya: “Aku tahu semua rahsia dalam rumah ini. Ibuku ada banyak skandal. Aku tahu… aku ini pun, belum tentu anak kandungmu….”
Wajah T L merah padam tetapi matanya meredup tiba-tiba. Si samseng itu terkedu mendengarkan kata-kata si budak.
Keadaan ruang tamu menyepi dan dua beranak itu tegak berdiri saling mengadap. Lampu-lampu kandeliar yang merias bumbung di bawah dom yang besar – tiba-tiba menyala.
Silau lampu menyuluh lantai marmar berwarna merah hati. Senja sudah datang – tetapi keadaan kekal sunyi sepi.
5
“Apakah ibu tidak malu hidup begini?” Tanya si budak: “Ibu hanya memalukan ayah. Sudahlah… tak perlulah berjantan di sana-sini.”
Si ibu berhenti melangkah; meniti tangga yang luas dan separa lengkung menuju ke tingkat atas. Gaunnya terselak ketika dia berpaling dan bau arak menyergap lagi ketika si ibu bercakap. Si budak mengekorinya dan kini berdiri di sisi ibunya.
“Tak payahlah kau membebel,” kata si ibu: “Kau pun sudah jadi seperti bapamu. Kerjamu hanya membunuh sana-sini dan kau juga akan jadi orang yang tak berguna seperti bapamu!”
Si budak terdiam. Malah, setiap kali dimaki ibunya – dia memang akan diam begitu.
“Aku dengar kau yang menembak mati si polan,” kata ibunya: “Kau macam budak bodoh yang menurut saja semua perintah ayahmu yang bacul itu. Sedangkan, si polan bukan jantan yang meniduriku….”
Kali ini si budak menjawab: “Aku juga tidak gentar menembak mati jantan yang menidurimu tadi….”
“Jangan kurang ajar!” Tengking ibunya: “Kau budak mentah yang sudah dirosakkan bapamu sendiri.”
“Aku malu punya ibu seperti kamu,” kata si budak: “Orang mengumpat keluarga kita di mana-mana. Orang mengata ibu – betina sundal yang gagal dikawal T L!”
“Sudahlah!” Bentak si ibu: “Kau tak tahu betapa dayus bapamu yang tidak berguna itu!”
Ketika ibunya melangkah pergi dan mendaki tangga dengan bunyi tumit kasut yang berdentak-detak – si budak mencelanya.
“Kalau kau terus memalukan bapaku,” katanya: “Aku tak gentar untuk membunuhmu.” Si ibu ketawa sambil terus melangkah ke pintu bilik.
“Hahaha…,” tawanya bergema: “Bunuhlah… aku pun sudah menyesal menyusukan seorang budak yang kini sama dayus seperti bapanya….”
6
Merayau-rayau pada malam hari dan memburu si mangsa membuat si budak terasa hidupnya kini membosankan. Dia keletihan setelah bertahun-tahun berada di jalanan memburu hantu T L. Malah, mula berasakan betapa dirinya seperti dipermainkan.
“Aku sepatutnya mengabaikan saja semua ini,” fikir si budak: “Dia kini hanya seekor hantu.”
Ketika duduk di kerusi dalam cuaca malam yang sejuk dan gelap – si budak memasukkan pistol 500 Magnum di dalam beg sandangnya. Sambil meraba-raba bentuk Smith and Wesson itu – dia teringat – kali pertama melihat hantu T L.
“Aku masih perlu balik ke rumah ini,” kata hantu T L: “Aku masih mahu mencari siapa pembunuh isteriku.”
Si budak tergaman. Lampu-lampu kandeliar sedikit malap ketika hantu T L berdiri di ruang tamu.
“Aku tak peduli siapa yang membunuhku pada malam Jumaat lalu,” kata T L: “Tapi, sebagai pembunuh sejati, aku takkan melepaskan pembunuh isteriku. Aku akan memburunya.”
Si budak tergaman. Dia nampak dengan jelas susuk seorang lelaki bersut serba hitam dan bertali leher warna merah. Lelaki itu berdiri tegak mengadapnya ketika dia sedang duduk menyendiri di meja makan.
Tangan si budak segera meraba ke tepi kerusi tempat duduknya. Dia berasa lega – pistolnya masih di situ.
“Ingat,” kata T L: “Hantu sepertiku takkan pernah berhenti mencari kebenaran.”
Ketika melihat wajah pucat si bapa – mayat yang dikambusnya beberapa hari lalu di tepi jalan – si budak sangat gemetar.
Mustahil, fikirnya. Si bapa yang dikambusnya dalam tanah basah di tepi selekoh jalan tak jauh dari rumahnya – kini hidup kembali.
Si budak percaya – itu hanya hantu T L. Cuma, anehnya – hantu itu seperti masih hidup.
Menyedari tamunya kini melangkah dua tapak ke depan meja makan – si budak memegang pistolnya. Ketika muncung pistol dihalakan – si hantu tersenyum.
“Sekarang aku yakin,” kata hantu T L: “Kau yang membunuh ibumu. Cuma… aku tak punya bukti.” Si budak menarik picu pistol; meluruskan muncung ke arah hantu yang berada di depannya. “Tak perlulah membunuhku sampai dua kali,” kata T L.
Si hantu berlalu; meninggalkan bau yang perit dan tengik; seperti bau bangkai seekor anjing.
7
Selalunya – pada musim hujan yang melebat hingga berpanjangan sampai ke malam hari – si budak akan muncul. Dia akan berjalan mundar-mandir di depan kedai gunting.
Selalunya budak itu akan mengenakan jaket labuh dan bertopi baket kain wol warna hitam pekat.
Dia akan berjalan dengan tubuh dibahasi hujan dan pistol di tangannya diacu melurus. Si budak kelihatan seperti sedang membontoti seseorang.
Ada waktunya, dia seperti melepaskan tembakan bertubi-tubi pada seseorang di depannya.
Cuma, kerana hal itu berlaku berulang kali selama bertahun-tahun – si tukang gunting tidak lagi berasa seram.
Malah, kalau hujan lebat – tiap kali berehat di tingkat atas kedainya – si tukang gunting berasa terhibur melihat aksi budak itu.
“Kasihan,” kata tukang gunting sambil tersengih: “Anak seorang pembunuh paling digeruni – kini hidup gila di jalanan.”
Dari jendela kaca yang terkatup rapat – tukang gunting melihat aksi si budak yang berjalan laju sambil mengacu-acukan pistolnya. Ada kala seperti terdengar bunyi tembakan dari mulut si budak yang kebasahan itu.
Walaupun bunyi hujan sangat kuat – si tukang gunting dapat mendengar dengan jelas – gumaman si budak sepanjang jalan.
“Memang aku yang membunuh ibuku,” kata budak itu: “Tapi dia mati dan tidak pula menjadi hantu….”
Ketika berpatah balik dan masih mengacukan pistol seperti sedang menembak seseorang – tukang gunting dapat mendengar lagi gumaman budak itu.
“Kau saja yang liat,” kata si budak: “Berkali-kali sudah kubunuh, tetapi tidak mati-mati juga….”
TAMAT
Cerpen Cerita Budak Si Penembak Hantu
Karya Zainal Rashid Ahmad