Argentina berjaya menjinakkan Indonesia 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno, pada Isnin walaupun tanpa kelibat kapten berpengaruh, Lionel Messi.
Malah, aura lebih 60,000 para penyokong skuad Garuda berjaya membentuk lautan baju merah memeriahkan lagi suasana di stadium.
Argentina telah memberikan tekanan sejak dari sepak mula dengan menguasai bola ketika Indonesia mengharungi badai setengah jam pertama bersama jelmaan skuad La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni tersebut.
Gol yang dicari Argentina akhirnya hadir menerusi pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) Leandro Paredes pada minit ke-38 selepas menterjemah bantuan gol Exequiel Palacios sekali gus merobek pertahanan ampuh anak buah Shin Tae-yong tersebut.
Pada separuh masa kedua tuan rumah yang berstatus ranking ke-149 dunia, mereka berusaha kembali dalam permainan dengan membawa masuk beberapa pemain gantian.
Namun, Argentina kembali melebarkan pendahuluan dengan hasil sentuhan Cristian Romero yang menyudahkan bantuan gol daripada Giovani Lo Celso pada minit ke-55.
Selain Messi, kunjungan Argentina ke Indonesia juga tanpa beberapa tonggak termasuk pemain tengah Juventus, Angel Di Maria dan pertahanan Benfica, Nicolas Otamendi.
Sumber : Sinar
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official