Hadis berkenaan syurga di bawah tapak kaki para ibu adalah satu hadis yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Semenjak daripada kecil masyarakat sering diperdengarkan dengan hadis ini. Tujuannya adalah untuk mendidik anak-anak kecil untuk taat dan hormati para ibu mereka. Lafaz hadis tersebut adalah seperti berikut:
الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الْأُمَّهَاتِ
Yang bermaksud, Syurga itu di bawah tapak kaki para ibu.
Namun, sejauh manakah kebenaran lafaz hadis tersebut? Benarkah ianya datang daripada Rasulullah SAW?
Lafaz hadis “الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الْأُمَّهَاتِ” yang bermaksud syurga di bawah tapak kaki ibu adalah palsu. Namun demikian, terdapat lafaz yang sahih dalam riwayat yang lain berbunyi “فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا” dengan maksud maka sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya (ibu). Oleh itu, sebaiknya disandarkan hadis tersebut kepada lafaznya yang sahih.
Setelah melakukan penelitian terhadap lafaz hadis ini terdapat dua jalur sanad yang berbeza. Jalur sanad yang pertama merupakan jalur daripada Anas bin Malik RA, manakala jalur sanad kedua pula adalah daripada Ibn ʻAbbas RA. Walau bagaimanapun, kedua-dua jalur mempunyai masalah.
Jalur daripada Anas bin Malik RA bermasalah disebabkan perawi yang bernama Mansur bin al-Muhajir dan Abu al-Nadhr al-Abbar. Menurut Ibn Hajar al-ʻAsqalani, Mansur bin al-Muhajir adalah seorang mastur (tidak dikenali).
Kemudian, al-Munawi menukilkan pandangan Ibn Tahir dalam Fayd al-Qadir bahawa Mansur bin al-Muhajir dan Abu al-Nadr al-Abbar sebagai tidak dikenali dan hadis mereka adalah munkar.
Pada jalur Ibn ʻAbbas RA juga berlaku hal yang sama, yang mana terdapat perawi bermasalah dalam sanad iaitu Musa bin Muhammad bin ʻAta’. Menurut Ibn ʻAdi, riwayat hadisnya munkar dan dia juga mencuri (riwayat) hadis (yusriq al-hadith).
Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa ayahnya iaitu Abu Hatim al-Razi mengatakan Musa bin Muhammad bin ʻAta’ adalah pendusta. Ibn Hajar juga mengatakan Musa bin Muhammad bin ʻAta’ adalah salah seorang daripada perosak hadis.
Jika diperhatikan daripada sudut maksud hadis maka maksudnya adalah sahih. Hal ini kerana terdapat hadis lain yang diriwayatkan secara sahih dengan sanad dan matan yang berbeza. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Muʻawiyah bin Jahimah al-Salami, maksudnya :
Bahwasanya Jahimah pernah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku ingin pergi jihad, dan sungguh aku datang kepadamu untuk meminta pendapatmu. Baginda bertanya: “Apakah engkau masih mempunyai ibu?” Dia menjawab: Ya, masih. Baginda bersabda: “Hendaklah engkau tetap berbakti kepadanya, maka sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.”
Riwayat al-Nasa’i
Sebagai kesimpulan, hadis syurga di bawah tapak kaki ibu dengan lafaz { الْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ الْأُمَّهَاتِ } adalah palsu.
Namun, maknanya sahih berdasarkan keseragaman maknanya dengan riwayat yang sahih sanadnya iaitu فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا. Justeru, sebaiknya disandarkan hadis ini kepada lafaznya yang sahih dan meninggalkan lafaz yang palsu tersebut.
Setiap maklumat yang kita perolehi lebih-lebih lagi yang melibatkan nama Rasulullah SAW sebaiknya diselidiki dan disahkan terlebih dahulu kebenarannya. Ini bagi mengelakkan daripada kita melakukan pendustaan ke atas Baginda SAW. Selain itu, Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa.
Sumber : Mufti Wilayah