Amalan membaca kaffarah al-majlis atau tasbih kaffarah di akhir majlis merupakan amalan yang telah sabit serta dituntut melalui dalil hadis yang sahih. Manakala membaca surah al-‘Asr pula merupakan amalan sebahagian daripada sahabat nabi bagi tujuan memuliakan majlis dan ia seiring dengan tuntutan menjaga adab di dalam majlis. Namun, adakah membaca tasbih kafarah beserta surah al-Asr terdapat di dalam nas?
Membaca doa di akhir majlis, doa tersebut lebih dikenali sebagai kaffarah al-Majlis merupakan amalan yang telah sabit dalam hadis. Perkara berkaitan ini telah disebut oleh Abu Hurairah RA di dalam riwayatnya, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:“Sesiapa yang duduk dalam satu majlis lalu banyak bergurau senda dalam majlis tersebut, sebelum meninggalkan itu hendaklah dia berdoa: Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji-pujian bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Engkau dan aku memohon ampun dan taubat kepada-Mu”.
Riwayat al-Tarmizi (3433)
Manakala dalam riwayat yang lain pula, Imam al-Baihaqi menukilkan riwayat Abu al-Barzah al-Asalmi. Riwayat berkenaan turut menyatakan hal yang sama bagi orang yang ingin meninggalkan majlis sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya:“Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji-pujian bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan engkau dan aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu. Mereka barkata: wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya kami mengucapkan perkataan yang diucapkan oleh Mu. Berkata Rasulullah SAW: ini adalah penutup bagi majlis”.
Riwayat al-Baihaqi (259)
Manakala amalan membaca surah al-‘Asr di akhir majlis pula, didapati tiada riwayat yang khusus tentang amalan ini daripada Rasulullah SAW. Namun ia merupakan zikir yang diamalkan oleh beberapa orang sahabat RA sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Madinah al-Darimi:
Maksudnya:“Dua orang daripada sahabat Nabi SAW apabila kedua-duanya bertemu, mereka tidak berpisah sehingga salah satu di antara keduanya membaca (وَالْعَصْرِ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ) kemudian salah satu daripada keduanya memberi salam kepada yang lain”. Riwayat al-Tabrani (5124)
Kesimpulannya, amalan membaca tasbih kaffarah di akhir majlis merupakan amalan yang telah sabit melalui dalil hadis yang sahih. Manakala membaca surah al-‘Asrpula merupakan amalan sebahagian daripada sahabat nabi bagi tujuan memuliakan majlis dan ia seiring dengan tuntutan menjaga adab di dalam majlis.