Pengarah filem terkenal, Afdlin Shauki dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang baru bagi penggal 2024 hingga 2025.
Pemilihan Afdlin dibuat berdasarkan undian majoriti ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM ke-25 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor.
Pada majlis tersebut, Afdlin menyatakan komitmen untuk membantu ahli-ahli persatuan ke tahap profesionalisme yang lebih tinggi dan menaikkan kembali imej FDAM yang tercalar sebelum ini.
“Tanggungjawab sebagai Pengerusi FDAM suatu yang berat tapi saya teruja untuk bersama rakan-rakan membawa suatu pembaharuan dan penjenamaan yang baru supaya kita semua kembali berbangga memegang kad keahlian FDAM,” katanya.
Selain Afdlin, sembilan jawatan lain turut dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi disandang oleh Khir Mohd Noor, Setiausaha (Haji Mohamad Zaini Hassan), Timbalan Setiausaha (Don Hoe), Bendahari (Loganathan Kanabathy), Timbalan Bendahari (Terry Chan) manakala empat jawatan ahli jawatankuasa terdiri daripada Mohamed Faizal Syed Ariff, Elrafaei Sapi, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki.