Negara kita seringkali dibanjiri dengan isu lambakan dan keterdesakan pendatang asing yang melakukan pernikahan secara senyap-senyap dengan warga tempatan sebagai langkah survival untuk terus tinggal di Malaysia.
Kegagalan mereka mematuhi undang-undang yang diperuntukkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dikesan antara punca pendatang asing yang bekerja sebagai buruh mengambil langkah mudah untuk berkahwin secara senyap dengan rakyat tempatan. Selain itu, peraturan Jabatan Imigresen yang menetapkan syarat yang ketat juga sering dijadikan alasan untuk mereka mencari jalan keluar lain dalam permasalahan ini.
Mereka beranggapan bahawa dengan menikahi warga tempatan, akan melayakkan diri untuk menikmati segala kemudahan yang disediakan untuk rakyat tempatan tanpa menyedari implikasi negatif yang harus didepani dari aspek perundangan dan sosial.
Tambahan pula, terdapat perkara-perkara yang terkait dengan hukum syarak berhubung dengan permasalahan ini.
Antara senario yang berlaku adalah apabila pernikahan itu berlangsung dengan ketiadaan wali atau keengganan wali untuk memberi keizinan kepada pihak wanita.
Selain itu, pasangan juga tidak mendatangkan saksi pernikahan disamping matlamat utama pernikahan itu adalah untuk tidak menghebohkan pernikahan yang dilakukan secara senyap-senyap.
Impaknya, perkahwinan yang sedemikian akan memberi kesan terhadap keabsahan sesebuah akad serta kesan pada aspek Undang-undang Keluarga Islam.
Bagi merealisasikan sesebuah akad perkahwinan, ia bergantung kepada kesempurnaan rukun nikah iaitu sighah (ijab dan kabul), wali, dua orang saksi, bakal suami dan bakal isteri.
Pernikahan yang tidak memenuhi rukun tersebut adalah tidak sah dan terbatal.
Walau bagaimanapun, terbit istilah baharu dalam pernikahan iaitu nikah sirri dan nikah ‘urfi. Kedua- dua istilah ini ditakrifkan dengan pelbagai takrifan menurut ulama kontemporari.
Antaranya, Syeikh Mahmud Syaltut mendefinisikan nikah sirri sebagai satu akad nikah yang dilaksanakan antara pihak lelaki dan pihak wanita tanpa kehadiran saksi. Pernikahan itu juga tidak dihebohkan kepada masyarakat umum dan tidak didaftarkan secara rasmi.
Kedua-dua pasangan ini hidup bersama secara tersembunyi sehingga tiada sesiapa yang mengetahui tentang pernikahan tersebut kecuali pasangan yang terlibat.
Manakala, nikah ‘urfi pula adalah pernikahan yang tidak dicatatkan dalam dokumen rasmi atau tidak didaftarkan secara sah menurut pentadbiran undang-undang negara.
Dalam sesetengah keadaan, saksi-saksi pernikahan juga telah diarahkan oleh pasangan supaya tidak menghebohkan pernikahan itu.
Bentuk pernikahan seperti ini dilaksanakan dengan memenuhi semua rukun-rukun dan syarat pernikahan.
Berdasarkan pentafsiran berkenaan nikah sirri dan nikah ‘urfi, jelas menunjukkan bahawa pernikahan yang sah dan sempurna di sisi syarak adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya.
Imam al-Syafi’i menyatakan bahawa jika berlaku pernikahan antara suami dan isteri lalu mereka mengarahkan saksi agar pernikahan tersebut dirahsiakan, maka hukum nikah itu tetap sah namun ia dianggap sebagai satu perbuatan yang makruh kerana ia menimbulkan keraguan dan boleh mencetuskan fitnah. Oleh yang demikian, makruh hukumnya menyembunyikan pernikahan.
Sumber : Mufti Wilayah