Di samping pasaran domestik yang terus bertambah baik, pemulihan dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) dijangka memberikan kesan positif kepada pasaran eksport pada S4 2023.
Melangkah ke tahun 2024 dan seterusnya, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pembaharuan ekonomi seperti yang dinyatakan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang disokong oleh dokumen dasar utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Bidang tumpuan termasuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menggalakkan pelaburan berkualiti untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, memastikan tadbir urus yang baik serta menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur awam ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Belanjawan 2024 akan merealisasikan pembaharuan fiskal dan ekonomi oleh Kerajaan MADANI secara efektif dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk mencapai visi yang ditetapkan dalam Ekonomi MADANI. Kerajaan akan terus mengurangkan defisit fiskal daripada 5% pada tahun 2023 kepada 4.3% pada tahun 2024, dan ia tetap teguh dengan pendirian dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meringankan beban kos sara hidup rakyat,” ujar YAB Dato’ Seri Anwar.
“Prestasi memberangsangkan pada S3 2023 memberikan isyarat kukuh untuk trajektori positif bagi Malaysia mencapai daya tahan ekonomi dan menyokong penstrukturan semula ekonomi seperti yang dihasratkan di bawah Ekonomi MADANI,” katanya.
Walau bagaimanapun, ketegangan geopolitik telah memberikan kesan domino, berikutan gangguan berterusan dalam rantaian bekalan antarabangsa dan peningkatan kadar faedah global. Situasi tersebut memuncak dengan kemerosotan dalam permintaan luaran yang mendedahkan ekonomi negara kepada risiko yang mungkin berlarutan dalam jangka masa sederhana.
Usaha bagi mengekang risiko ini bertitik tolak daripada inisiatif berterusan Kerajaan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi. Pada S3 2023, FDI bersih telah melebihi dua kali ganda berbanding suku sebelumnya kepada RM7.2 bilion (S2 2023: RM3.1 bilion).
Aktiviti kewangan dan insurans/takaful; maklumat dan komunikasi serta sektor perdagangan borong & runcit menarik FDI tertinggi terutamanya dari Hong Kong, China, UK, Singapura dan Jepun. Melangkah ke hadapan, lebih banyak usaha akan digerakkan untuk menarik FDI dalam sektor pembuatan bernilai tinggi khususnya untuk E&E, petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui.
-KEMENTERIAN KEWANGAN