Amat penting bagi semua pengguna Islam untuk mengetahui badan-badan Islam yang diiktiraf di seluruh negara. Ini dapat mengelakkan pengguna merasa ragu-ragu untuk membeli barangan atau memasuki premis-premis tertentu ketika berada di luar negara. Pengetahuan mengenai logo-logo badan Islam yang diiktiraf di luar negara juga penting agar pengguna tidak keliru.
Berikut merupakan senarai badan Islam yang diiktiraf oleh JAKIM di luar negara. Pengguna boleh menghubungi badan Islam yang diiktiraf atau menghubungi terus pihak JAKIM untuk maklumat lanjut.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan senarai terkini Badan Pensijilan Halal Luar Negara (HFCE) yang Diiktiraf oleh JAKIM dan memaklumkan mengenai penarikan semula Pensijilan Halal Luar Negara dari Belgium berkuat kuasa 13 Oktober 2023.
Walau bagaimanapun, mana-mana produk yang sudah dalam perjalanan ke Malaysia dengan sijil halal yang dikeluarkan oleh HFCE sebelum atau pada 12 April 2024, iaitu mana-mana produk yang dikeluarkan atau dihasilkan sebelum 13 Oktober 2023 dengan sijil halal yang sah dan dalam proses penghantaran ke Malaysia sebelum atau pada 12 April 2024 akan diterima dengan dokumen sokongan yang berkaitan dengan tarikh pengeluaran.
Dalam pada itu, dua negara lain iaitu Mongolia dan juga Rusia ditambah ke dalam senarai FHCB sekaligus menjadikan jumlah bertambah iaitu 86 Badan Pensijilan dari 46 negara.
Disamping itu, pengguna juga boleh menyemak senarai dan mengesahkan status halal produk, premis, dan rumah sembelihan yang turut dikemaskini melalui aplikasi Verify Halal.
Muat turun aplikasi Verify Halal sekarang sebagai rujukan di masa hadapan
Sumber : JAKIM