Menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan Muharam dengan satu amalan iaitu berpuasa sunat pada 10 Muharam. Puasa sunat ini juga dikenali sebagai puasa Hari Asyura. Amalan puasa hari Asyura ini menjadi kelaziman kepada umat Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Rasulullah SAW tiba di Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyura. Baginda berkata: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari yang Allah SWT menyelamatkan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut”. Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa AS berbanding kamu. Maka Baginda SAW pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari tersebut”.
(Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga galakan yang sama dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Hari Asyura adalah hari orang- orang Quraisy berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada Hari Asyura dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardukan puasa Ramadan, Baginda meninggalkan (puasa) Hari Asyura, barangsiapa yang ingin berpuasa, maka lakukanlah (puasa Hari Asyura), dan barangsiapa yang tidak mahu maka dia boleh meninggalkannya”.
(Riwayat al-Bukhari)
Kedua-dua hadis sahih ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk berpuasa sunat pada hari tersebut kerana puasa Hari Asyura merupakan sunnah yang dituntut.
TARIKH DAN NIAT PUASA HARI ASYURA
Umat Islam digalakkan untuk memperoleh pahala puasa sunat Hari Asyura bukan sahaja pada 10 Muharam, bahkan disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharam (Hari Tasu’a). Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. Sementara dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar al- Siddiq beliau berkata; ia bermaksud Hari Asyura”.
(Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW mengharuskan umatnya berpuasa pada 9 Muharam (Hari Tasu’a) mengiringi 10 Muharam (Hari Asyura) adalah bertujuan untuk membezakan antara amalan puasa umat Islam (Hari Tasu’a dan Hari Asyura) dengan ibadah puasa orang Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam sahaja. Begitu juga terdapat hadis yang mengharuskan umat Islam untuk berpuasa pada 10 dan 11 Muharam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Rasululah SAW bersabda:
Maksudnya: “Berpuasalah pada hari Asyura dan berselisihlah padanya dengan orang Yahudi, berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”.
(Riwayat Ahmad)
Walaubagaimanapun, sekiranya umat Islam memilih untuk berpuasa pada 10 Muharam sahaja, hukumnya harus dan sah. Hal ini bertepatan dengan pandangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami RA dalam Tuhfah al-Muhtaj:
Maksudnya: “Teks (al-Minhaj) menyebut (dan Hari Asyura) tidak mengapa untuk hanya berpuasa pada hari itu sahaja secara tunggal.”
Berdasarkan teks di atas, mazhab Syafie
berpandangan bahawa umat Islam diharuskan berpuasa pada 10 Muharam sahaja secara tunggal (tanpa digandingkan dengan hari sebelumnya). Namun lebih afdal digabungkan antara 9 & 10 Muharam atau 10 & 11 Muharam.
Justeru, dapat disimpulkan di sini bahawa ibadah puasa Hari Asyura boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu sama ada berpuasa Hari Tasu’a beserta Hari Asyura (9 & 10 Muharam), berpuasa 10 & 11 Muharam, atau berpuasa pada 10 Muharam sahaja.
KELEBIHAN PUASA HARI ASYURA
Bagi seseorang yang berpuasa pada Hari Asyura tersebut, maka ia memiliki ganjaran yang amat besar iaitu Allah akan menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Puasa pada Hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah SWT supaya dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya”.
(Riwayat Ibn Majah)
Kesimpulannya, Hari Asyura merupakan ibadah puasa yang hanya boleh dilaksanakan sekali sahaja dalam setahun. Malah Allah mengurniakan ganjaran yang besar kepada seseorang yang berpuasa pada hari terebut. Justeru marilah kita sama-sama mencari keberkatan dan keampunan dengan berpuasa sunat Hari Asyura sama ada dengan berpuasa pada 9 & 10 Muharam, 10 & 11 Muharam atau berpuasa pada 10 Muharam sahaja.
Sumber : Mufti Wilayah
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official