Kita telah menyaksikan kemajuan teknologi digital yang begitu pesat hasil dari perkembangan inovasi yang berlaku. Ianya secara tidak langsung memberi impak yang besar dan mengubah corak dan gaya hidup masyarakat segenap usia di Nusantara.
Dalam mendepani cabaran budaya dunia global dan serba moden ini, sebagai ibu bapa kita seringkali khuatir mengenai perkembangan anak-anak terutamanya dalam aspek akidah dan akhlak mereka.
Perlu kita fahami, mendidik anak mengenali agama adalah hak mereka yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa supaya sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Malah untuk mengukuhkan keimanan anak yang sedang membesar, didiklah mereka mencintai Rasulullah SAW dan keluarga Baginda.
Islam juga telah meletakkan kedudukan ibu bapa sebagai salah satu kedudukan terpuji selepas Allah SWT dan Rasulullah SAW
Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
(Al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 23)
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Daripada Saidina Ali Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: “Didiklah anak kamu pada tiga bahagian utama. Pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi kamu. Kedua, didik mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah dan ketiga, didiklah anak kamu dengan Al-Quran.” (Riwayat at-Tabarani)
Anak adalah cermin dan pantulan daripada pelakuan ibu bapanya. Setiap yang terzahir daripada sifat dan tabiat anak seharusnya menjadi musabab buat ibu bapa dan bukannya modal melampiaskan marah.
Oleh itu, menjadi kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk mengenalkan anak kepada Rasulullah SAW dan cinta terhadap Baginda. Ia hanya akan terlestari jika ibu bapa terlebih dahulu kenal dan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Mengenali dan mencintai tidak hanya terletak kepada pengetahuan salasilah Baginda SAW, tetapi ia sangat berkait rapat dengan rasa dan tindakan. Seni memindahkan rasa cinta kepada diri anak bukan sekadar menerusi lisan, malah perbuatan yang hadir dari hati dan dilakukan sepenuh hati.
Namun, terdapat beberapa kesilapan dilakukan ibu bapa dalam mendidik anak, iaitu dengan menyerahkan tugas itu kepada pihak sekolah. Kita sering kali lupa untuk memberi bimbingan agama yang lengkap kepada anak menyebabkan mereka jahil dan ada yang membenci ajaran agama.
Keadaan itu berleluasa ketika ini kerana ramai dalam kalangan umat Islam yang mempertikai mengenai agama setelah terpengaruh dengan ajaran yang membuatkan mereka ragu-ragu dengan Islam.
Membiarkan anak terdedah kepada bahan bacaan berbaur kesesatan adalah kesilapan yang dilakukan ibu bapa kerana tanpa sebarang kawalan ia akan merosakkan pemikiran mereka.
Justeru itu, untuk mengukuhkan keimanan dalam diri anak, tanamkan rasa khusyuk, takwa dan sifat kehambaan kepada Allah SWT sejak mereka kecil lagi. Rasa khusyuk dapat dibentuk ketika mereka memberi sepenuh perhatian kepada ibadat solat.
Sentuhlah jiwa mereka dengan rasa sesalan dan kehambaan ketika membaca al-Quran dan sering mengingatkan bahawa orang mukmin berjaya bukan yang memiliki harta dan kemewahan atau kecantikan rupa paras, tetapi yang sentiasa khusyuk ketika mendirikan solatnya.
Didiklah anak seikhlasnya tanpa menjangkakan sebarang balasan. Proses didikan sewajarnya bermula dari hati. Didik anak itu amanah bukannya jasa. Sebelum mendidik orang lain ada baiknya terlebih dulu didiklah hati sendiri.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official