Operasi mencari dan menyelamat Muhammad Hawari Hashim, pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu terpaksa ditamatkan atas beberapa faktor.
Pendaki yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran itu dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada jam 3:30 petang waktu Nepal sehari sebelum beliau hilang.
Pengurus pasukan ME2023 Ayu Wanirah Naharudin dalam kenyataan semalam memaklumkan beliau menerima maklumat daripada ketua misi itu, Azim Afif Ishak bahawa dron yang digunakan bagi operasi SAR berdepan masalah untuk menerima gambar dan video yang dirakam.
Tambahnya, ia mungkin berpunca dari faktor cuaca sejuk menyebabkan dron berkenaan sukar untuk berfungsi dengan baik selepas tiga hari berturut-turut digunakan untuk operasi SAR.
Selain masalah dron, Ayu Wanirah berkata pasukan operasi SAR turut bergelut dengan syarikat pengendali helikopter yang telah dilantik apabila ia memanggil balik juruterbang untuk pulang ke negara asalnya di Jerman.
“Ia sekali gus menyukarkan mereka untuk meneruskan operasi SAR yang berbaki lagi sehari namun terpaksa akur dengan arahan atas faktor keselamatan,” katanya.
Operasi SAR itu menyaksikan dua dron digunakan iaitu jenis DJI Matrice 300 RTK dan DJI Mavic 3 yang diterbangkan khas dari Malaysia.
Operasi SAR Muhammad Hawari memasuki hari ke 19 selepas beliau dilaporkan hilang pada 19 Mei lepas selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official