Karya ZAINAL RASHID AHMAD
Seorang pembunuh berasa sangat yakin bahawa mayat boleh dilupuskan melalui laluan pembetung. Dia percaya dengan memotong dan melumatkan mayat mangsa – serta dipam ke lubang tandas – pembetung bulat 100 milimeter akan melenyapkan bukti pembunuhan ke kolam kumbahan.
“Cuma harus hati-hati,” kata rakannya: “Walaupun mayat lupus… darah masih boleh dikesan polis dengan menggunakan lampu ultra ungu. Kau tahu kan… betapa cekapnya teknologi forensik hari ini.”
Si gemuk mengerutkan mukanya; cuma isi pipi yang melandur dan dagu tenggelam oleh tebalnya lemak. Lehernya membengkak tanda dipenuhi kolesterol.
Wajah kembang dan pipi kembungnya serta dagu yang melandut telah menelan raut ekspresi wajahnya.
Kegusaran hanya terpancar pada sepasang matanya yang kuyu dan dahi jendulnya yang berkeluk ketika berfikir.
“Lantai dapur rumahku dari marmar,” katanya. “Apa yang perlu, selepas melupuskan mayat, aku harus memanggil buruh kontrak menukar tai lantai dan mengecat semula seluruh dinding.”
Rakannya tersenyum: “Mengapa harus melakukan pembunuhan di rumah?” Tanya rakannya. Si gemuk terdiam.
“Lebih mudah kalau kau bawa mangsa bercuti di atas kapal layar, membunuhnya tanpa luka dan dilemparkan ke laut dalam beg berisi besi,” kata rakannya.
Si gemuk terdiam.
“Atau upah saja seorang yang profesional. Dia akan melakukan aksi seperti merompak dan menembak mati kekasihmu. Polis tidak akan mengesyaki apa-apa.”
Rakannya terus memberikan cadangan demi cadangan. Si gemuk mendengar dengan bersemangat. Cuma, dia lebih berminat melakukannya sendiri. Pertama, kosnya lebih murah. Kedua, tiada saksi yang boleh mengugutnya kemudian hari.
2
Si Gemuk berkerja sebagai perunding psikiatri. Dia mahir dalam urusan kaunseling.
“Orang takut ke psikiatris,” kata si gemuk: “Sama ada CEO atau penyambut tamu, tidak ada yang berani mendapatkan rawatan jiwa. Berjumpa psikiatris dianggap gila.”
“Aku pun begitu,” kata rakannya: “Aku akan menganggap siapa yang menerima rawatan psikitrik sebagai pesakit mental.”
Si gemuk mendengus: “Isyyy… kau ini. Fikiran kau sempit. Sebab itu kerja kau dari dulu sampai sekarang, hanya menipu orang saja.”
Rakannya ketawa kuat hingga kikik hilainya menikam lubang telinga si gemuk.
“Aku sebenarnya ingin mempunyai seorang kekasih,” kata si gemuk.
Rakannya berhenti ketawa dan memandang tepat pada si gemuk. Ruang tamu jadi sunyi. Dua lelaki itu terus duduk bersandar di kerusi plastik dan dua botol mineral di atas meja. Suasana ruang tamu berserabut.
Kusyen sofa berselerak di lantai dan tuala mandi tersidai pada besi tingkap. Kasut bersepah di tepi pintu dan di atas rak kayu, berterabur longgokan stokin.
“Kau tak pernah pun cuba memikat wanita,” kata rakannya: “Mustahil kau akan punya kekasih….”
“Aku banyak bertemu dengan pesakit wanita,” katanya: “Cuma, mustahil aku jatuh cinta dengan orang yang dalam fikirannya penuh dengan keinginan untuk mati,” kata si gemuk.
“Ya…,” balas rakannya: “Apa ertinya bercinta kalau wanita hanya melihat dunia ini sebagai menakutkan. Akhirnya, keinginan mereka untuk mati akan membuat kita ikut menderita.”
3
Si gemuk teringat pada Pedrinho Matador – si pembunuh bersiri. Psikopat paling sadis yang lahir pada tahun 1954. Belum pun berusia 18 tahun – Matador membunuh sepuluh orang termasuk ayahnya sendiri.
Pembunuhan pertama dilakukan pada usia 14 tahun. Satu pembelaan terhadap bapanya yang dipecat Timbalan Datuk Bandar kerana dituduh mencuri makanan.
Rasa malu dan marah kerana keluarganya dianiaya, membuatkan Matador menganggap majikan bapanya seorang penzalim.
Tanpa simpati, Matador menembak mati lelaki itu di depan Bangunan Bandaraya. Seterusnya membunuh pengawal keselamatan – pencuri sebenar yang menyebabkan ayahnya menanggung beban dipersalahkan.
Selepas kejadian itu Matador berjaya meloloskan diri. Dia terus membunuh dan membunuh. Cuma, dia psikopat legenda. Mangsanya hanya penjenayah yang mengancam masyarakat atau orang yang sengaja menyusahkan dirinya.
Kemuncak hidup Matador sebagai pembunuh bersiri berlaku setelah kekasihnya dibunuh sindiket pengedaran dadah. Psikopat sadis ini bertindak membalas dendam dengan cara lebih mengerikan.
Matador bukan setakat memburu pembunuh kekasihnya. Malah, menculik musuhnya bersama isteri atau pasangan masing-masing.
Setelah disiksa sepuas hatinya- semua yang ditahan dibunuh di depan mata antara satu sama lain.
Setelah puas membunuh segala macam orang – Matador nekad melaksanakan satu misi pembunuhan penting. Iaitu menghapuskan ayahnya sendiri.
Ketika Matador melarikan diri kerana perburuan polis, ayahnya telah membunuh ibunya. Tanpa sangsi, Matador menyamar dan melawat ayahnya di penjara.
Di situlah, dia menikam bapanya hingga mati. Dendamnya tergambar dengan 22 tikaman yang menghancur abdomen bapanya.
Malah, sejarah Matador si psikopat – umpama jelmaan syaitan. Selepas menikam berulang kali, dia melapah dada bapanya lalu memamah jantungnya.
Pada 24 Mei 1973, Matador pun ditangkap. Cuma, sikap binatangnya tetap tidak berkesudahan. Dia memang psikopat sejati.
Ketika dimasukkan ke kereta polis, Matador duduk bersebelahan dengan seorang perogol. Sekelip mata, apabila polis membuka pintu kereta, perogol itu sudah mati; lehernya dipatahkan.
Ketika di penjara – Matador menikmati dunia psikopat uniknya. Bencinya kepada penjenayah menyebabkan lelaki muda itu membunuh 47 banduan lain.
“Aku puas dengan semua pembunuhan ini.”
Begitulah pengakuan Pedro Rodriquez Filho @ Matador.
Bukti sains menjelaskan – keganasan Matador berpunca akibat kecederaan otak semasa dalam kandungan.
Ibunya kerap dipukul bapanya ketika hamil. Kecederaan ketika masih janin – melahirkan seorang Matador – psikopat paling menakutkan dalam sejarah bandar Minas Granias, Brazil.
“Matador psikopat menyedihkan,” kata si gemuk: “Hidup malangnya bermula sejak dalam rahim ibu. Dunia menyambutnya sebagai penghapus si penjahat. Namun, kekejaman Matador melangkaui batas.”
Cuma, si gemuk teringat keinginannya sendiri. Betapa, dia ingin menghapuskan mangsa dengan melumatkan mayat dan dilupuskan melalui lubang tandas.
Si gemuk mahu melihat daging dan tulang yang hancur itu, dipam ke lubang pembetung dan mereput dalam kolam kumbahan.
4
“Kamu nampaknya mengalami kemurungan,” kata si gemuk: “Tanpa keinginan bergaul dan hilang minat terhadap semua kegembiraan, itu tanda kamu mengalami depresi major.”
Si gadis hanya mendengarkan saja. Terdiam di sofa terapi. Wajahnya ditundukkan ke lantai; rambut panjangnya menutupi hampir seluruh wajahnya.
“Apa yang kamu inginkan?” Tanya si gemuk: “Yang dapat membuatkan kamu gembira?”
“Aku ingin bersamamu,” jawab gadis itu sambil mengangkat mukanya: “Aku bosan dipermainkan lelaki kacak. Aku ingin menikmati cinta, sekali pun palsu. Aku ingin menikmati segala yang buas denganmu.”
Mendengarkan kata-kata gadis itu – si gemuk hampir jatuh dari kerusi. Jantungnya hampir pecah dan nafasnya jadi mengah.
5
Sebuah kapal layar bersaiz sederhana diparkir di hujung dermaga. Dekorasinya agak mewah dan cukup buat si gemuk dan kekasihnya meredah laut sekitar Langkawi.
Si gemuk nampak bersemangat. Mengenakan seluar khakis paras lutut, serta sehelai kemeja pantai warna biru bercorak riasan pohon kelapa.
Si gadis muncul dengan memakai skirt dan baju koton nipis; hingga nampak coli dan seluar dalam berwarna merah jambu. Dia juga menggayakan topi yang disilang ke belakang dan rambut panjangnya dibiarkan mengerbang.
Ketika tiba di jeti Porta Malai – segera si gadis meluru lalu dipeluk dan diciumnya si gemuk semahu mungkin. Lelaki gendut itu kelihatan separuh mengah dan sukar bernafas.
“Aku tidak sabar melalui saat-saat indah denganmu,” kata si gadis.
“Oh… iyakah?” balas si gemuk dan suaranya sedikit gugup dan menggagap.
Wajahnya merah dan si gemuk nampak gelabah ketika memimpin tangan gadis itu melangkah ke dalam bot. Mula-mula diangkatnya beg galas gadis itu – terasa sangat berat hingga kedua-dua bahunya menyenget. Beg diletakkan di tepi dek, tapi gadis itu bersuara lembut.
“Letakkan di depan sana,” katanya: “Aku tak suka berpatah balik ke dek setelah kita duduk di depan nanti.”
Si gemuk tersengih. Sekali lagi dia terhegeh-hegeh memikul beg galas yang sangat berat. Ketika tergesel pada lantai dan dinding bot, si gemuk yakin, bunyi hentakan itu tanda isi di dalam beg itu benda yang sangat keras dan berat sekali.
Setelah meletakkan beg di bahagian depan, si gemuk kembali ke sisi dek, lalu disambutnya si
gadis yang masih berdiri di sisi jeti. Disentuhnya tangan gadis itu dengan lembut dan dibawa melompat ke dalam bot.
Sekali lagi dengan sentuhan penuh romantis, dibawanya gadis itu duduk di bahagian depan; kerusi saling bersebelahan dengannya.
Matahari jam 8 pagi mulai memijar ketika si gemuk menghidupkan enjin bot dan mula belayar meninggalkan jeti. Pagi yang cerah, laut nampak indah dan ombak biru beralun lembut di muka air.
Sampai di pinggir pulau yang pantainya penuh batuan – bot berhenti dan mengadap ke arah Selat Melaka. Batu-batu di keliling pulau terlihat besar agam; bagai kawanan gajah sedang berjalan menyusur tebing.
“Aku sangat terpikat pada kau,” kata si gadis: “Tiap kali bertemu dan mendengar kaunseling – aku berasa seluruh beban hidupku hilang begitu saja.”
Si gemuk tersenyum: “Ooo… ya kah? Aku tidak pernah terfikir gadis secantik kamu akan jatuh hati padaku.”
Si gadis merapatinya: “Kau terlalu berasa rendah diri. Walaupun gemuk, kau comel sekali.”
Si gemuk tersenyum; wajahnya merah menyala antara rasa malu kerana dipuji gadis itu – atau dek sulaan silau matahari yang mulai hangat dan meninggi.
“Sayangku…,” kata gadis itu: “Bolehkah dapatkan aku segelas air.”
Si gemuk menganggukkan kepala, lalu segera berjalan ke kabin. Dibukanya pintu dan kemudian segera menuruni anak tangga. Ruang dalam kabin sangat mewah walaupun sedikit sempit.
Selain rak dapur, terdapat katil kecil yang rapi dan bilik air yang muat untuk mandi berdiri. Segera dia terfikir – bahawa mencekik gadis itu dalam bilik air – dan kemudian melumatkan mayatnya dan dipam kelubang tandas – tentunya sesuatu yang sangat mengujakan.
“Aku sangat gemetar sekarang,” fikir si gemuk: “Bagaimana aku harus menggoda dan membawanya ke ranjang?”
Si gemuk membayangkan – ketika gadis itu mandi sebelum menidurinya – dia akan menyerbu masuk ke bilik air, lalu mencekik atau mencerut leher gadis itu. Dan kemudian – set pisau yang sudah disembunyikan awal-awal di bawah katil kabin akan digunakan untuk melumati mayat.
“Tiap inci dagingnya akan dimakan ikan….”
Setelah membuka peti ais dan mendapatkan sebotol soda – segera si gemuk melangkah keluar. Cuma, sebaik saja membuka pintu kabin – terasa kepalanya berpinar. Si gemuk jatuh ke lantai.
Sekilas dia nampak kelibat gadis itu berdiri di depan pintu kabin. Tersengih mamandang
padanya; sambil memegang sebatang besi.
“Hari ini,” kata gadis itu: “Mayatmu akan tenggelam ke dasar laut. Kau akan mati perlahan-lahan dalam karung guni. Itu bungkusan terakhir dalam hayatmu.”
Kepala si gemuk dipenuhi darah dan kedua-mata matanya kini makin mengabur. Dirinya terlentang di lantai.
“Terima kasih kerana sudi mengangkat beg yang penuh dengan besi. Kau akan tenggelam dan tidur lena di dasar laut hari ini.”
Lama kelamaan mata si gemuk mulai gelap. Agak lama dia cuba melawan untuk tidak pengsan.
Malah, si gemuk sempat terdengar gadis itu menelefon seseorang dan berkata: “Hei… aku sudah membunuh kawan baikmu. Mayatnya akan kuhumban ke laut. Terima kasih kerana idea yang sangat menarik….”
Dunia si gemuk berakhir perlahan-lahan. Segalanya mulai kelam dan terpadam.
Comments 2