2023 ekonomi teruk? Itulah ramalan dan analisis pakar-pakar ekonomi dunia. Apa pun yang akan berlaku tetap akan berlaku.
Impaknya? Sudah pasti besar. Jangan dibiarkan anak-anak kita tercicir dalam pendidikan. Satu-Satunya jalan untuk keluar dari belengu kemiskinan adalah ilmu.
Menyedari akan kepentingan pendidikan sebagai salah satu tunjang utama dalam pembangunan negara, Islamic Relief Malaysia (IRM) menawarkan bantuan persekolahan menerusi projek “Cheer to School” (CTS).
IRM mensasarkan pengumpulan dana sebanyak RM200,000 sehingga 31 Disember 2022. Projek ini dijangka bakal memberi manfaat kepada 600-700 pelajar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Projek CTS memfokuskan bantuan seperti pakaian seragam, beg sekolah, kasut, stokin, alat tulis, pelitup muka serta cecair pencuci tangan.
Antara kriteria penerima bantuan melibatkan para pelajar daripada keluarga atau penjaga B40 dan ke bawah, asnaf, yatim piatu, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik serta mengambil kira bilangan ahli keluarga yang ramai.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood, inisiatif ini merupakan antara projek tahunan yang dijalankan pihaknya bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak. Ini secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat anak-anak ini untuk kembali ke sekolah secara tidak langsung mempertingkatkan prestasi akademik mereka.
“Meski pandemik telah berlalu, namun kesan dari sudut kewangan masih dirasai sehingga kini. Melihat kepada kajian yang dijalankan pada Mei 2020 hingga Mac 2022 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melibatkan 500 keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di Malaysia menunjukkan, golongan berpendapatan rendah atau terjejas kewangan masih memerlukan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.”
“Kita juga tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa kekangan kewangan yang dialami ibu bapa dan penjaga ternyata memberi pengaruh besar kepada anak-anak untuk memperoleh pendidikan yang baik dan sempurna,” kata Siti Fadilah.
Islamic Relief yang banyak bergiat aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan di negara konflik sering melihat kanak-kanak terpaksa berhenti sekolah dan terabai pendidikan antaranya disebabkan faktor kesempitan hidup. Pendidikan tidak lagi menjadi keutamaan kerana ibu bapa terpaksa menggunakan sedikit wang yang ada untuk membeli keperluan makanan bagi memastikan mereka dapat terus hidup.
Jadi, dengan adanya projek CTS ini diharapkan dapat memberi peluang kepada masyarakat Malaysia seluruhnya untuk sama-sama membantu golongan rentan di negara kita sendiri supaya jurang sosio ekonomi dapat dikurangkan serta dapat membantu memperkasa pendidikan anak bangsa kita.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang menerusi projek “Cheer to School” boleh layari laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.
Islamic Relief merupakan sebuah organisasi bantuan dan pembangunan kemanusiaan antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1984 dan beribu pejabat di Birmingham, United Kingdom. Islamic Relief berkhidmat di lebih 45 buah negara dan telah membantu lebih daripada 120 juta orang sejak beroperasi. Skop bantuan Islamic Relief merangkumi bantuan kecemasan, pembangunan mampan bersepadu, pengurangan risiko bencana dan advokasi.
Mengenai Islamic Relief Malaysia, Islamic Relief Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 2005, bertujuan untuk meneruskan bantuan kemanusiaan Islamic Relief di rantau Asia-Pasifik. Kini, Islamic Relief Malaysia berperanan sebagai pejabat penjanaan dana dan pelaksana projek tempatan dan antarabangsa.