Sebanyak 56 motosikal yang diubah suai secara ekstrem telah disita dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Sabtu.
Manakala sebanyak 691 saman dan 155 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.
Bahagian Penguatkuasa JPJ dalam satu kenyataan berkata, kesemua motosikal itu juga turut disita kerana gagal mematuhi piawaian teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Menurut jabatan itu, operasi tersebut dilaksanakan selama tujuh jam bermula 10 malam menerusi strategi sekatan jalan raya (SJR) di kedua-dua arah Lebuhraya DUKE dengan membabitkan 75 anggota penguat kuasa.
“Unit Peronda Bermotosikal (UPB) turut di tempatkan lokasi lorong tikus untuk menahan mana-mana kenderaan yang cuba membuat pusingan lari daripada tindakan penguatkuasaan.
“Operasi ini dijalankan dengan kerjasama JPJ Selangor, Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) susulan aduan awam,” ujarnya lagi.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official