Terdapat peningkatan jumlah wartawan yang juga menjadi mangsa yang terkorban dalam konflik Palestine-Israel sejak minggu pertama perang tercetus antara Israel-Hamas di Gaza berbanding jumlah korban dalam beberapa konflik lain di wilayah itu sebelum ini sejak 1992, kata Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ).
Menurut CPJ, sehingga hari ini (2 November), seramai 33 wartawan dilaporkan terbunuh, manakala lapan orang lagi cedera, sementara sembilan lagi hilang atau telah ditahan, kata CPJ dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X.
Tambahnya lagi, dari 33 orang mangsa yang terkorban, kebanyakkannya terdiri daripada 28 orang warganegara Palestin, 1 orang warganegara Lebanon dan juga 4 orang Israel.
Malah, setakat 1 November jumlah mangsa yang terkorban yang dilaporkan juga meningkat kepada lebih 10,000 orang sejak 7 Oktober lalu.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 320 pemegang pasport asing serta sejumlah mangsa perang Gaza yang cedera meninggalkan wilayah bergolak di Palestin melintasi sempadan Rafah, satu-satunya pintu penghubung dengan negara jiran Mesir pada Rabu.
Kumpulan itu merupakan yang pertama mendapat kebenaran berbuat demikian hasil daripada perjanjian yang dicapai melalui perantara kerajaan Qatar, kata sumber pihak berkuasa Mesir serta pegawai-pegawai kanan Palestin.
Melalui perjanjian yang termeterai antara Mesir, Israel dan Hamas, seramai 81 mangsa yang cedera dan senarai awal 500 pemegang pasport antarabangsa dijangka dibenarkan meninggalkan Semenanjung Gaza dalam beberapa hari akan datang, jelas sumber dari beberapa negara asing kepada Reuters.