Seramai 15 orang pakar akademik dalam bidang ekonomi daripada universiti awam dan institusi pendidikan tinggi swasta telah dilantik sebagai pakar rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen Malaysia Kelima Belas (JKPKKE).
Pelantikan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, serta Pengerusi JKPKKE, YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pakar Rujuk JKPKKE.
Menerusi watikah itu, pakar-pakar rujuk akan bertanggungjawab memberi khidmat nasihat dan rujukan kepada JKPKKE dalam hal ehwal berkaitan ekonomi dan kewangan.
Penerima watikah telah disyorkan oleh Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi berdasarkan pengalaman luas mereka dalam bidang kewangan dan ekonomi, pelaburan dan perdagangan antarabangsa, rantaian nilai global, pembangunan ekonomi dan ekonometrik.
Bercakap dalam Majlis Penyerahan Watikah yang berlangsung pada pagi ini, YB Tan Sri Johari mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli akademik yang telah dilantik dan menyatakan harapan agar peranan JKPKKE akan lebih diperkasakan melalui nasihat dan pandangan yang diberikan oleh pakar rujuk.
“JKPKKE merupakan salah satu daripada mekanisme badan perundangan yang signifikan dan saling melengkapi kepada badan eksekutif. Ini selaras dengan pemerkasaan instrumen legislatif yang merupakan antara agenda penting dalam Reformasi Parlimen. Harapan saya agar inisiatif kolaborasi di antara Parlimen Malaysia danKementerian Pendidikan Tinggi ini dapat meningkatkan keberkesanan dan meningkatkan kewibawaan Jawatankuasa Pilihan (JKPK) dalam menjalankan proses semak dan imbang terhadap badan eksekutif,” kata YB Tan Sri Johari dalam ucapan perasmiannya.
Terdahulu, terdapat 10 JKPK yang telah dilantik dengan perintah Dewan Rakyat bagiParlimen ke-15 sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian- kementerian, membantu menambah baik urusan kementerian-kementerian mencari jalan penyelesaian bersama terhadap isu kepentingan rakyat serta membawa usul untuk perbincangan dan perbahasan yang lebih lanjut dalam Dewan Rakyat. 10 Ahli Dewan Rakyat daripada kalangan backbenchers dan pembangkang telah dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa ini. -PARLIMEN MALAYSIA