Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan di sebuah premis dalam pusat beli-belah di Jalan Haji Saman selepas menikam bekas tunangnya sehingga menyebabkan kematian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, mangsa berusia 22 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai ditemui terlentang atas lantai dengan beberapa kesan tikaman pada badan kira-kira jam 12 tengah hari.
Tambahnya, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
Menurut Superintendan Kalsom, ketika ditemukan mangsa masih bernafas. “Pegawai perubatan segera memberi bantuan pernafasan namun mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan awal mendapati beberapa kesan tikaman pada tubuhnya,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat.
Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk bagi mengenal pasti motif kejadian itu.
Sumber : Buletintv3
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official