DEMAND RESPONSIVE TRANSIT (DRT) DI PULAU PINANG SEMAKIN BAIK
Rapid Penang, di bawah kendalian Rapid Bus Sdn Bhd, terus memperkukuhkan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) di Pulau Pinang. Dengan penambahan 300 buah van baharu untuk pengoperasian DRT di Lembah Klang dan Pulau Pinang, Rapid Penang bersedia untuk memperluaskan capaian perkhidmatan ini, yang pastinya akan memberi manfaat besar kepada seluruh warga Pulau Mutiara.
VAN UNTUK SEMUA
Van-van ini akan mula diterima bermula Disember 2024 dengan 30 buah van pertama, manakala selebihnya akan dihantar secara berfasa sehingga Jun 2025. Sebahagian van ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri mesra Orang Kurang Upaya (OKU), menjadikannya lebih inklusif untuk semua.
DRT AKAN TERUS DIPERLUASKAN
Rapid Penang telah melancarkan perkhidmatan DRT di Farlim dan Air Itam pada 1 Ogos 2024 dengan dua buah van. Kini, dengan penambahan van-van baharu, perkhidmatan ini akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan, termasuk kawasan yang tidak dapat dicapai oleh bas biasa.
HANYA RM1
Tambang hanya RM1.00 dikenakan untuk setiap perjalanan dengan bayaran tunai, manakala pengguna Pas Mutiara My50 dan Pas OKU Smile boleh menikmati perjalanan secara percuma. Ini adalah sebahagian daripada usaha Rapid Penang untuk meningkatkan kesalinghubungan “first-last mile” dan menyediakan perkhidmatan yang mudah diakses, efisien, dan mesra pengguna.
Dengan inisiatif ini, Rapid Penang terus menunjukkan komitmennya dalam menyediakan pengangkutan awam yang lebih baik untuk rakyat Pulau Pinang. Van transit yang hanya RM1 ini pasti menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari kemudahan dan kos efektif dalam perjalanan harian mereka.