DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), merasmikan padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional, Bandaraya Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil. Hadir sama adalah YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
Baginda telah menaja padang bola sepak di stadium nasional sebagai hadiah kepada bola sepak Malaysia selepas saban tahun pengendali stadium menghadapi masalah berkaitan kualiti rumput.
Sebelum penajaan tersebut, DYAM Tunku Ismail telah meminjamkan sebuah kanvas dari Stadium Larkin kepada Stadium Nasional untuk menjaga dan melindungi padang Bukit Jalil daripada hujan lebat menjelang perlawanan penting Harimau Malaya dan perlawanan-perlawanan akhir kejohanan Piala. DYAM Tunku Mahkota Johor juga berkenan agar pasukan kebangsaan menggunakan Stadium Sultan Ibrahim dan Pusat Latihan JDT, yang merupakan fasiliti bola sepak terbaik di rantau ini.
Baginda sentiasa menekankan keperluan padang dan kemudahan bola sepak yang berkualiti untuk memartabatkan bola sepak Malaysia, dan itu adalah antara asas kepada kebangkitan JDT untuk menjadi kelab bola sepak terkemuka di Asia Tenggara. DYAM Tunku Ismail juga menggesa semua stadium bola sepak di negara ini untuk meletakkan kepentingan yang sama bagi meningkatkan taraf sukan tersebut di seluruh negara.
Rumput zeon zoysia turut digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, yang diiktiraf sebagai padang terbaik di negara ini sejak stadium ikonik tersebut dibuka pada tahun 2020.
DYAM Tunku Mahkota Johor sebelum ini telah meninjau keadaan padang terdahulu di Bukit Jalil pada 2022 dan menghadiri majlis pecah tanah padang zeon zoysia baharu pada Mac 2023. Padang baharu ini akan digunakan buat kali pertama apabila Malaysia menentang India dalam pertandingan Pestabola Merdeka 2023. Allah Peliharakan Sultan.