Penyakit kanser payudara merupakan barah yang paling banyak mengorbankan nyawa kaum wanita di Malaysia.
Statistik terkini mencatatkan 1 daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia, manakala di Eropah pula 1 daripada 8 orang wanita berisiko untuk didiagnos dengan penyakit yang sama.
Kebanyakan wanita dikesan menghidap kanser payudara ketika umur mereka sudah menginjak 50 tahun.
Walau bagaimanapun, wanita yang lebih muda dan kaum lelaki juga tidak terkecuali daripada menghidap kanser payudara.
Ini kerana 1% penghidap kanser payudara adalah daripada golongan lelaki.
Kanser payudara bermula di bahagian payudara. Jenis kanser payudara pula bergantung kepada jenis sel yang telah bertukar menjadi sel kanser.
Payudara terdiri daripada 3 bahagian utama: sel kelenjar lobul (lobules), saluran yang membawa susu ke bahagian puting (ducts) dan tisu penghubung yang membentuk keseluruhan payudara (connective tissue).
Kebanyakan penyakit kanser bermula pada bahagian saluran ataupun lobul pada bahagian payudara.
Seperti barah lain, sel kanser yang berasal daripada payudara boleh merebak dan menjangkiti sel-sel berdekatan yang sihat.
Jika anda mengalami simptom di bawah, segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut walaupun anda baru sahaja melakukan ujian saringan untuk barah payudara.
Antara simptom lazim penyakit ini ialah:
Ketulan pada bahagian payudara merupakan salah satu simptom terawal kanser payudara. Melalui pemeriksaan kendiri, anda boleh periksa sama ada mempunyai ketulan yang abnormal pada kawasan payudara anda.
Selain itu, Inflammatory breast cancer (IBC) akan menyebabkan pesakit mengalami rasa sakit pada bahagian payudara.Sakit tersebut juga akan diikuti bengkak dan kulit payudara menjadi kemerah-merahan.
Satu lagi simptom barah payudara ialah saiz buah dada yang berubah secara tiba-tiba.
Normal untuk wanita mengalami perbezaan dalam bentuk payudara ketika datang bulan ataupun mencapai akil baligh. Namun, tidak normal untuk saiz payudara berubah secara tiba-tiba.
Jangan tangguh untuk berjumpa doktor jika payudara anda mengalami pembesaran yang abnormal. Selain itu, pesakit akan rasa kulitnya tegang di sekitar kawasan payudara.
Malah, pesakit kanser jenis ini boleh mengalami ulser pada kawasan payudara. Jika tidak dirawat, luka boleh berjangkit dan akan menghasilkan bau yang tidak enak.
Antara simptom awal inflammatory breast cancer (IBC) juga adalah rasa gatal yang berpanjangan pada sekitar payudara. Kebiasaannya simptom ini akan diikuti dengan kemunculan ruam yang seakan-akan gigitan serangga.
Kawasan payudara juga akan menjadi kemerah-merahan, bengkak dan rasa panas. Pesakit yang menghidap kanser payudara akan rasa sakit atau mengalami perubahan pada bahagian puting.
Penyakit Paget (Paget’s disease) merupakan sejenis barah payudara yang menjangkiti kawasan puting. Barah jenis ini akan membuatkan pesakitnya mempunyai puting yang bersisik, gatal ataupun kemerah-merahan.
Disebabkan risiko untuk mendapat penyakit kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan umur, maka semua wanita yang telah mencecah umur 50 -70 tahun disarankan untuk menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnnya sekali dalam masa 3 tahun.
Barah payudara boleh didiagnos dengan beberapa jenis ujian seperti mamogram, ultrasound, MRI dan juga biopsi.
Terdapat dua jenis rawatan untuk pesakit kanser payudara iaitu rawatan secara setempat (local treatment) dan juga rawatan secara sistemik (systemic treatment).
Rawatan yang akan dicadangkan oleh doktor pula mungkin berbeza mengikut jenis, tahap kanser dan juga keadaan kesihatan pesakit.
Rawatan penyakit kanser payudara secara setempat (local treatment)
Seperti namanya, rawatan ini bersifat setempat dan tidak akan mengganggu kawasan tubuh badan yang lain. Rawatan secara pembedahan dan terapi radiasi merupakan dua contoh rawatan secara setempat iaitu melalui pembedahan dan juga terapi radiasi.
Rawatan kanser payudara secara sistemik (systemic treatment)
Bertentangan dengan rawatan secara setempat, rawatan secara sistemik boleh merawat kanser pada mana-mana bahagian tubuh badan sekalipun. Rawatan ini boleh diberi secara oral ataupun dimasukkan terus ke dalam salur darah. Rawatan secara sistemik merangkumi kemoterapi, terapi hormon, terapi biologikal, dan juga terapi imun.
Segera berjumpa doktor jika anda mengalami tanda-tanda berikut:
1. Ketulan rasa keras dan tidak bergerak
2. Ketulan tidak hilang ataupun surut. Ia kekal melebihi 4 hingga 6 minggu.
3. Nampak perbezaan pada kulit di sekitar payudara seperti kemerahan atau bersisik.
4. Keluar cecair ataupun darah daripada puting.
5. Puting tenggelam ataupun masuk ke dalam.
6. Anda dapat rasa ketulan yang semakin membesar di sekitar kawasan ketiak anda.
Sumber : Hello Doktor