Apabila terlalu banyak Whatsapps yang diterima dan mempersoalkan status: “bersihkah” To’ki daripada dadah? Ia sanggahan yang sangat merimaskan.
Menjawabnya melalui Whatapps bukan tindakan bijak kerana perkataan yang dicurigai akan menambahkan lagi krisis prasangka terhadap penyanyi ini.
To’ki muncul di Studio Garasi dalam wawancara “live” dan mendedahkan dirinya melalui proses pemulihan yang kronik bagi menangani krisis ketagihan yang dialaminya.
Tanpa menipu – To’ki mengakui dirinya mengambil subaxone – sejenis ubat klinikal untuk mengatasi masalah ketagihan.
Selebihnya – dalam wawancara lebih 90 minit itu, penyanyi kelahiran Changlun, Kedah mengakui – dia sudah menjauhkan diri dari kumpulan jenayah terancang.
Tiga kali berdepan kes cubaan dibunuh, sangat meninggalkan kesan kepada penyanyi yang kini berhempas-pulas memulakan kehidupan baharu.
Selain itu, penyanyi yang popukar dengan lagu “Biasan” dan “Hampa” ini turut berdepan tanggung jawab menjaga isterinya yang mengalami patah tulang paha akibat kemalangan.
Keadaannya bertambah sulit apabila terpaksa tinggal di rumah daif di pinggir sungai berdekatan hutan Batu 12 Gombak.
“Aku hanya mahu kembali menyanyi. Itu saja dan aku perlu menyanyi untuk terus menyara diri dan isteri,” katanya.
To’ki pada usia 54 tahun tidak lagi mengejar kemilau cahaya glamor. Hidupnya secara asas, ialah berusaha mencari rezeki dan mengekalkan kestabilan hidup.
Selain menjauhi diri daripada dadah dan jenayah.
“Tapi aku tahu, tak mudah untuk meyakinkan masyarakat. Ini karma sebab kesilapan masa lalu,” katanya.
Melihat perkongsian Facebook yang dikirim sahabatnya, Baim Zakaria – sangat mengejutkan.
“Rumah dia sini sekarang. Tepi sungai dan dekat hutan,” kata Baim Zakaria.
Ketika ditemu bual secara langsung di Studio Garasi Republik melalui Facebook, soal jawab dijalankan tanpa “perancangan” dan “perbincangan awal”.
Sesi ini spontan dan mahukan jawapan untuk merungkai cerita sebenar.
Tidak mudah untuk bertanyakan soalan sekiranya dilihat cuba “memihak” pada penyanyi popular pada tahun 90-an ini.
Stigma masyarakat sangat mencurigai penyanyi ini kerana pelbagai berita negatif sejak dua dekad lalu.
“Kau tanyalah apa saja. Mana yang terdaya aku jawab,” katanya.
Selalu gugup, fobia dan mudah panik.
Hampir 25 tahun melalui hidup yang berantakan dan berdepan justifikasi awam dan media massa – sesuatu yang tidak mudah ditangani To’ki.
Kisah dan berita mengenai dirinya sentiasa “hitam dan sensasi”. Malah, menciptakan pengadilan awam yang tidak membantu dirinya keluar daripada masalah.
“Apa yang lepas anggaplah sudah lepas. Beri aku peluang mulakan hidup baharu,” katanya.
Sebenarnya To’ki mengalami krisis gangguan fobia yang serius. Serangan panik dan “anxiety disorder” menyebabkan dirinya sukar berdepan dengan kepelbagaian keadaan.
Ada ketikanya, apabila sedang “live” menyanyi di Facebook – dia boleh mengalami serangan panik hanya kerana komen-komen negatif netizen.
Walaupun secara personaliti, To’ki seorang yang tabah, nekad dan tidak mudah mengalah.
Namun, sikap ini juga antara punca yang menyebabkan keadaan tekanan “anxiety” menjadi semakin teruk.
Apabila berada dalam keadaan sukar dan terpaksa nekad, banyak perkara yang dilakukan, akhirnya menyebabkan keadaan emosi dan fikirannya jadi bertambah tertekan.
Apabila keadaan berada di luar kawalan terutama hidup tanpa rumah, bermalam dalam kereta dan ditemukan meminta wang di stesen minyak.
Turut tersebar berita mengenai dirinya penagih dadah – membuatkan keadaan serangan panik dan gangguan fobianya semakin teruk.
“Ada masa aku jadi keliru dan tak dapat nak berfikir. Rasa gementar hampir menyebabkan aku pitam dan boleh rebah,” katanya.
To’ki bergantung pada subaxone (ubat bagi kawalan ketagihan). Walaupun tekanan perasaan yang dialaminya memerlukan rawatan klinikal dan penilaian pakar.
“Mana ada duit nak tanggung semua kos perubatan. Aku menyanyi merata tempat untuk sekadar makan minum dan kos harian,” katanya.
Semenjak tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan, To’ki bergantung hidup sepenuhnya pada token nyanyian melalui Facebook.
“Itu usaha yang boleh dibuat kerana menyanyi sebab tempat awam dilarang ketika ini,” katanya.
Setelah muncul di temubual Garasi Republik, dan mendedahkan keadaan dirinya yang bertarung untuk bebas daripada dadah dan jenayah, To’ki mendapat undangan DJ Isma Halil di Radio Bapakku.fm.
“Isma Halil banyak membantu dan muncul di radio bapakku sangat mengesankan kerana orang mula membantu,” katanya.
Selepas dijemput Isma Halil, keadaan To’ki bertambah baik apabila Astro Awani pula menjemputnya.
“Aku hanya mahukan peluang untuk kembali menyanyi. Itu saja punca untuk mencari pendapatan,” katanya.
To’ki berharap masyarakat dan peminat memberikan peluang padanya. Terutama usahanya untuk menangani masalah fobia dan “anxiety” yang sangat membebankan hidupnya.
“Inshallah…sekarang ini ada yang membantu. Aku hanya perlukan sokongan untuk berubah dan perbaiki diri dan kembali menyanyi,” pintanya.
Anda boleh mengikuti nyanyian To’ki melalui Facebook To’ki Official.
Selain berhibur anda boleh memberikan token ke Nombor Akaun Public Bank : 4800182109 Mohd Zaki Bin Mansor.
“Beri aku peluang, itu saja. Beri aku waktu untuk pulih dan atasi masalah fobia dan anxiety yang teruk ini. Inshallah… doakan Allah mudahkan jalan ini,” katanya mengakhiri perbualan.
Bagi yang ingin mengundang To’ki mengadakan persembahan, sila hubungi Baim Zakaria di nombor telefon: 012 355 2826.
– To’ki menderita fobia dan “anxiety” kronik –
Comments 1